Khamis, 29 Mac 2012
Operasi MBI Diaktifkan Semula
Kerajaan negeri Perak mengaktifkan semula operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) awal tahun ini sebagai entiti yang mewakili kerajaan dalam urus niaga dan hal yang berkaitan dengan kepentingan negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perbadanan itu telah diwujudkan kira-kira 40 tahun lalu di bawah enakmen khas sama seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) dan Perbadanan Pertanian Negeri Perak (SADC).
“Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang lalu, kita telah memaklumkan untuk mengaktifkan semula MBI secara formal bermula awal tahun ini.
“Ada pihak tertentu cuba menabur fitnah yang menggambarkan seolah-olah Menteri Besar akan mendapat semua projek yang diluluskan oleh MBI.
“Bagi rakyat yang kurang arif, mungkin mereka akan percaya dan menganggap begitu teruk sekali Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas program Klinik Dr Zambry di Parit, pagi ini.
Katanya, MBI bergiat aktif di semua negeri seperti di Selangor dan Kelantan dan ketika ini, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif disandang oleh Aminuddin Hashim yang dahulunya adalah Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR).
Mengulas lawatan kerja dua hari ke Parlimen Parit, Zambry berkata, barisan kepimpinan negeri dapat berjumpa dengan pelbagai lapisan masyarakat bagi menyelami masalah yang dihadapi mereka.
Jelasnya, masalah utama yang dikenalpasti ialah penempatan penduduk yang sudah berpuluh-puluh tahun menduduki sesuatu kawasan tetapi masih belum mendapat geran tanah.
“Sebahagian masalah yangdibangkitkan boleh diselesaikan umpamanya melibatkan penempatan yang sudah lama tetapi penduduk masih belum mendapat sebarang geran.
“Untuk kes ini sahaja, lebih 30 rumah terlibat dan kita akan cuba menyelesaikannya dengan membuat semakan dan tindakan perlu yang lain.
“Kita juga menerima aduan berkaitan rumah golongan miskin yang memerlukan perhatian dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam ucapannya, Zambry mengingat kan rakyat supaya tidak terperangkap dengan janji parti pembangkang yang menggunakan perkataan `kalau’ untuk meraih sokongan pengundi.
Sebaliknya, rakyat kata beliau perlu bijak menilai segala janji yang ditabur parti pembangkang yang sanggup menjanjikan bulan dan bintang untuk mencapai matlamat mereka.
“Kerajaan BN bekerja keras untuk memastikan pembangunan dapat dilaksana kan dan turun padang untuk berjumpa rakyat kerana ia adalah tanggunjawab kita.
“Kita tidak pandai bercakap lebih sangat dan angkat diri sendiri seperti yang sering dilakukan oleh parti pembangkang,” katanya lagi.