Ahad, 1 April 2012
PMAP Anjur Kejohanan Muaythai Malaysia VS Thailand
JUARA muaythai Malaysia, Mohd Ali Yaakub mengharumkan nama negara apabila menumpaskan peninju Thailand, Bua Palangpet dalam kejohanan muaythai peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Amatur Perak, malam Sabtu.
Mewakili Dragon Muaythai, Mohd Ali lebih menguasai pertarungan dan kecederaan di bahagian dahi Bua menyebabkan pertandingan itu terpaksa ditamatkan pada pusingan ketiga.
Ternyata, Bua yang mewakili Boxx Warriors Subang bukan lawan bagi Mohd Ali yang lebih tangkas dan banyak menyerang lawannya sekaligus dinobatkan sebagai pemenang yang pulang bersama wang tunai RM3,000 berserta piala.
Selain pertarungan sengit antara Mohd Ali dan Bua, pertandingan muaythai peringkat antarabangsa yang julung-julung diadakan di Ipoh itu menyaksikan perlawananan pembukaan antara peninju Singa Malaya yang diwakili oleh Mohd Rafi Alias dan Mohamad Rofi Mohamad yang mewakili Dragon Muaythai.
Hampir 400 penonton begitu teruja menyaksikan pertandingan pembukaan itu yang akhirnya dimenangi oleh Mohd Rafi yang lebih aggresif mengatur serangan terhadap Mohamad Rofi.
Untuk perlawanan kedua, Mohd Faiz Zul mencatat kemenangan dalam tempoh kurang tiga minit apabila menjatuhkan lawannya, Mohd Hafiz Yaacob yang mewakili Dragon Muaythai dengan pukulan knock-out.
Mohd Faiz yang mewakili Singa Malaya mudah menundukkan Mohd Hafiz dengan tendangan dan pukulan kencang yang akhirnya menjatuhkan lawannya di pusingan pertama pertandingan.
Bahang kejohanan kian terasa apabila pertandingan antara Mohd Hafiz Zul dari Dragon Muaythai menentang peninju dari Muaythai Manjung, Abdul Hamid Muiz bermula.
Pertembungan dua anak muda ini nampak seimbang kerana masing-masing bijak mengatur strategi untuk mengutip mata kemenangan, sekaligus melayakkan mereka dinobatkan sebagai pemenang.
Namun, tuah berpihak kepada Abdul Hamid apabila beliau diisytiharkan sebagai pemenang oleh barisan pengadil pertandingan berdasarkan kepada tendangan dan tumbukan tepat yang disasarkan kepada lawannya.
Kejohanan muaythai yang bermula kira-kira jam 8 malam itu turut diserikan dengan kehadiran Exco Belia dan Sukan negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.
Kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) adalah penaja utama kejohanan itu yang antara lain bertujuan mempopularkan sukan muaythai di Perak serta mempromosikan Tahun Melawat Perak 2012