Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan, berkata oleh yang demikian pengeluaran lencana menggunakan lambang negeri Perak dan keanggotaan Ahli Diraja seperti yang dilaporkan akhbar pada 8 Jun lalu adalah satu perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan melanggar Enakmen Lambang-lambang dan Nama-nama (Mencegah Penggunaan Yang Tidak Betul) 1966.
Katanya, orang awam dinasihatkan supaya tidak terpedaya untuk membeli atau memperoleh keahlian Ahli Diraja yang ditawarkan dan dijanjikan oleh mana-mana pihak sekalipun.
"Orang awam yang terpedaya dengan perbuatan terbabit atau didampingi mana-mana pihak dengan menawarkan mereka untuk menjadi Ahli Diraja diminta tampil membuat laporan polis supaya siasatan berhubung perkara itu dapat dijalankan, katanya.
Abdul Puhat berkata, pihaknya juga sudah membuat laporan polis berhubung perkara itu pada 8 dan 9 Jun lalu.
Katanya, laporan akhbar mendakwa kegiatan menjual lambang kereta itu turut disertakan dengan jaminan sesiapa yang memiliki watikah dan lambang berkenaan diberi jaminan perlindungan atau imuniti daripada pihak penguatkuasa undang-undang jika melakukan kesalahan lalu lintas serta diskaun caj penginapan hotel.
Beliau berkata, berdasarkan laporan akhbar terdapat dua pihak yang mengeluarkan keahlian Ahli Diraja berkenaan.
Pada 8 Jun lalu, akhbar melaporkan terdapat pihak yang didakwa menjual dan mengeluarkan lambang kereta mengandungi lambang negeri Perak dan keahlian Ahli Diraja kepada orang awam.