Sabtu, 14 Julai 2012

Datuk Fauzi Shaari, Pas dan kes pembunuhan Inspektor Saderi…





semalam akhbar melaporkan yang bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Fauzi Shaari mengambil keputusan untuk menyertai parti Pas

aku hanya tersenyum sendiri, bagi aku yang pernah mengenali beliau, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan, jangan ditanya mengapa hehehee

apapun yang pasti, terus terang aku katakan beliau adalah di antara pegawai tinggi PDRM yang cukup disenangi oleh banyak pihak, tetapi pada masa yang sama cukup dibenci penjenayah

aku ingat lagi, masa beliau jadi Ketua Polis Dang Wangi dulu, habis diredahnya sarang pelacuran di Kuala Lumpur ni terutama dekat kawasan Bukit Bintang, Kompleks Sun yang dulu cukup terkenal dengan ‘kupu-kupu malam’ digempurnya hampir setiap hari sampai lunyai bapa-bapa ayam dikerjakannya!

dengan media ni, beliau tidak pernah meninggikan suara, aku diberitahu dengan pegawai dan anggotanya juga begitu

masa beliau jadi Ketua Polis Selangor, telefonlah masa bila pun, jarang beliau memberikan jawapan NO KOMEN kepada wartawan yang menghubunginya, andai kata RAHSIA sangat pun, Fauzi akan kata – tunggu dululah kami siasat, kalau ada perkembangan saya akan maklumkan

nampak tak betapa berhemahnya beliau, bukan macam sesetengah pegawai polis yang aku pernah berurusan, pangkat takdelah tinggi mana tapi ‘meroyannya’ Ya Rabbi!

dan masa di Utusan Malaysia dulu, aku pernah mewawancara beliau untuk ruangan personaliti, masa tu Fauzi masih Ketua Polis Selangor (kalau beliau masih ingatlah)

antara perbualan menarik yang sempat aku ingat ialah Fauzi rupa-rupanya antara pegawai yang terlibat secara langsung dalam siasatan kes pembunuhan seorang wanita, Salbiah Yeop Abdul Rahman di Pulau Pinang

kes ini cukup menggemparkan negara satu ketika dulu, ia berlaku pada 15 November 1980…ini kerana suspek kes itu adalah pegawai polis sendiri, Inspektor Saderi Abdul Samat yang ketika itu baru berusia 24 tahun
Inspektor Saderi Samat (kiri) dan Karpal Sink





menurut Fauzi, mayat Salbiah yang juga seorang pekerja kilang ditemui dalam keadaan hampir reput dan setelah disiasat, pihaknya mendapat tahu arwah adalah kekasih Saderi

tetapi ketika itu Saderi sudah pun bertunang dengan seorang wanita lain, Rubiah Tijan

setelah soal siasat dibuat ke atas Saderi, pegawai polis itu mengaku telah menghamilkan Salbiah namun suspek berkata, bukan dia yang membunuh mangsa sebaliknya mangsa yang membunuh diri kerana malu dengan keadaan dirinya yang telah berbadan dua

menurut Saderi, dia terkejut bila balik ke rumahnya di Mes Pegawai Polis apabila menemui mangsa yang telah tergantung dengan leher yang terjerut

kerana bimbang dituduh membunuh Salbiah, Saderi telah menggunakan sebilah gunting untuk memotong tali nylon yang menjerut leher Salbiah untuk menurunkan mayat kekasihnya itu

Saderi kemudian membawa mayat itu dan diletakkan di tempat duduk penumpang depan kereta yang dipinjam daripada rakannya, Inspektor Che Ibrahim Che Muda sebelum membuang mangsa di sebuah lurah bukit

tetapi semasa perbicaraan di mahkamah, ahli kimia, Hoong Seng Hong, dalam keterangannya pula menyatakan adalah mustahil untuk tubuh manusia seberat lebih 45 kilogram boleh tergantung pada paku yang patah pada alang dalam bilik air berkenaan

katanya, ujian yang dijalankan mendapati paku terbabit patah akibat ketukan biasa dan membengkok dan bukannya akibat menggantungkan objek seberat 45 kilogram

menurutnya, ujian yang dilakukan mendapati paku yang diketuk pada alang terbabit tidak berupaya menahan beban dan menjadi bengkok serta merta sebaik diletakkan beban seguni pasir seberat 45 kilogram

ujian itu membabitkan penggunaan tiga batang paku sepanjang lima sentimeter setiap satu dengan ketebalan 2.7 milimeter

kayu pada alang itu juga keras dan memerlukan kekuatan untuk memakunya ketika dia memaku kira-kira dua sentimeter

“Daripada ujian yang saya lakukan, ianya tidak boleh berlaku. Ia tidak mungkin,” kata ahli kimia itu

akhir sekali bicara punya bicara, Saderi didapati bersalah dan mahkamah berpendapat teori bunuh diri itu hanya helah Saderi untuk mengelak daripada tuduhan membunuh tersebut

Saderi akhirnya digantung sampai mati pada tahun 1984



menariknya kes ini, sampai ke sudah tiada saksi yang boleh dikaitkan dengan pembunuhan tersebut, tali yang dikatakan menjerut leher Salbiah juga sampai ke sudah tidak ditemui

mahkamah hanya menjatuhkan hukuman itu berdasarkan circumstantial evidence (bukti situasi) dan keterangan post mortem yang mengatakan Salbiah mati disebabkan “strangulation and not hanging.”

berbalik kepada Fauzi, beliau mengatakan yang sampai saat akhir pun, Saderi masih tak mengaku membunuh Salbiah, dia tetap mengatakan yang Salbiah sendiri yang membunuh diri!

itulah sebab sedikit mengenai kes pembunuhan Salbiah ini

fuh misteri sungguh kes pembunuhan tu, yang pasti keputusan Fauzi menyertai Pas pun tidak kurang ‘misterinya’ hahahaha

apapun kepada Datuk Fauzi yang aku kenali ini, pesan aku satu saja, buatlah apa yang difikirkannya terbaik untuk Islam dan bangsa kita ini

selamat berjuang pula di arena politik…yang adakalanya lebih ‘ganas’ dan ‘kejam’ dari jenayah itu sendiri, Wallahualam.

Sumber Syahril Kadir wordpress