Sabtu, 14 Julai 2012

Bukti kotakan janji - Muhyiddin


Muhyiddin Yassin melihat model Jambatan Sungai Siputeh-Telok Mas pada pelancaran Mini RTC Kampung Sungai Siputeh, Selama, Perak, semalam. Turut kelihatan Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin (kiri) - BERNAMA



LARUT 12 Julai - Keputusan memansuhkan Akta Hasutan adalah tindakan berani yang membuktikan kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mengotakan janji bagi melaksanakan transformasi politik di negara ini secara menyeluruh.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan memansuhkan akta tersebut sekali gus menangkis persepsi-persepsi negatif yang dilemparkan pembangkang kononnya undang-undang di negara ini digunakan untuk tujuan tertentu.

''Ini langkah yang bagi saya cukup berani, mungkin pembangkang sendiri pun tidak jangka ini (pemansuhan akta) akan kita lakukan. Kita harap masyarakat dapat menilai kesungguhan kerajaan.

''Maknanya, kita bukan sahaja sebut (berjanji), tetapi laksanakan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) yang pertama di Sungai Siputeh, Selama, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ibrahim Mohamad.

Perdana Menteri semalam mengumumkan penguatkuasaan secara serta-merta semua akta baru serta memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan digantikan dengan suatu rang undang-undang yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

Muhyiddin berkata, langkah terbaru kerajaan itu mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk memenuhi tuntutan masyarakat yang mahu sistem pentadbiran lebih telus, terbuka dan selari dengan amalan demokrasi termasuk menyentuh hak-hak asasi.

''Mengenai Akta Hasutan ini, ada persepsi seolah-olah ia digunakan oleh kerajaan untuk tujuan tertentu tetapi sebenarnya ia tidak begitu.

''Jadi, Perdana Menteri telah memutuskan kita tidak gunakan akta itu dan gantikan dengan akta baru. Ia sedang dalam peringkat akhir dan kita akan bawa ke sesi Parlimen akan datang," jelas beliau.