Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan menaiktaraf sebahagian daripada 237 mini Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di seluruh negara bagi melonjakkan lagi taraf hidup rakyat luar bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata mini RTC adalah transformasi sektor luar bandar yang juga merupakan sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional selain ekonomi, pentadbiran dan politik yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Mini RTC ini akan melonjakkan taraf hidup rakyat dan kita akan menaiktaraf sebahagian daripada 237 mini RTC yang ada bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan yang diperlukan di bawah konsep ‘one stop centre’.
“Ia adalah sebahagian daripada Dasar Transformasi Nasional yang diperkenalkan Perdana Menteri yang bertujuan membela nasib, memberi keadilan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mini RTC Kampung Sungai Siputeh, dekat Selama, hari ini.
Hadir sama, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Muhyiddin berkata lagi, melalui peranan yang dimainkan oleh mini RTC ini, taraf hidup masyarakat luar bandar dapat dipertingkatkan sekaligus menjadi anjakan atau perubahan besar kepada pembangunan sektor luar bandar.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddn yang juga Naib Presiden UMNO, berkata sektor luar kekal menjadi agenda penting bagi kerajaan BN untuk dibangunkan seperti yang dilaksanakan sejak 55 tahun negara mengecapi nikmat merdeka.
“Untuk mencapai Wawasan 2020, rakyat perlu melaksanakan anjakan berganda bagi meletakkan Malaysia menjadi sebuah negara maju,” katanya lagi.
Selain itu, kerajaan BN juga katanya, memberi tumpuan khusus kepada pembangunan luar bandar terutama bagi penyaluran peruntukan untuk program pembangunan.
Jelasnya, secara keseluruhan, kerajaan telah memperuntukkan RM26 bilion bagi tahun 2011 hingga 2013 bagi pembangunan masyarakat desa di Malaysia.
“Di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kerajaan telah membina dan menaiktaraf jalan di luar bandar sejauh 1,013 km yang member impak positif kepada 425,377 penduduk.
“Selain jaringan jalan raya yang lebih baik, sebanyak 73,227 rumah tambahan dibekalkan air bersih yang member faedah kepada 366,135 penduduk.
“Manakala projek penyediaan bekalan elektrik telah memberi manfaat kepada 27,004 rumah dan 14,365 rumah dibina atau dibaiki untuk golongan miskin,” katanya lagi.
Tambah Muhyiddin lagi, pada tahun ini, kerajaan mensasarkan membina 1,349 km jalan luar bandar, membekalkan air dan elektrik kepada masing-masing 201,192 dan 39,442 buah rumah di luar bandar dan 14,565 lagi untuk pembinaan dan baik pulih rumah. PERAK TODAY