Jumaat, 13 Julai 2012

Pemansuhan Akta Hasutan Bukti BN Tepati Janji Kepada Rakyat

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemansuhan Akta Hasutan 1948 membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) menepati janji, bukan sekadar bercakap kosong apabila mengumumkan dasar transformasi politik.

“Langkah pemansuhan Akta Hasutan 1948 yang akan digantikan dengan Akta Keharmonian Nasional adalah bukti kerajaan menepati janji untuk melaksanakan transformasi nasional.

“Kita bukan sebut atau umumkan sahaja (mengenai transformasi) tetapi kita laksanakan. Sebahagian undang-undang yang kita perkenalkan telah kita kuatkuasakan, ini (pemansuhan Akta Hasutan) satu langkah terbaru yang menunjukkan kerajaan mengikuti perubahan masyarakat,” katanya.

Pada sidang media selepas melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar Mini (Mini RTC) Sungai Siputeh, dekat Selama, Muhyiddin yang juga Naib Presiden UMNO, berkata kerajaan prihatin terhadap perkembangan dan perubahan dalam masyarakat yang mahu satu sistem yang lebih telus dan terbuka selari dengan amalan demokrasi serta tuntutan hak asasi manusia.

“Pembangkang juga tidak menjangka mengenai langkah berani yang dibuat kerajaan dalam membawa transformasi nasional terutama dalam aspek politik,” katanya lagi.

Timbalan Perdana Menteri berharap rakyat dapat menilai kesungguhan kerajaan dalam usaha melaksanakan transformasi nasional yang turut merangkumi perubahan politik.

Rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Hasutan itu kini berada di peringkat akhir penelitian sebelum dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang, katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional. PERAK TODAY