CHEREDZA
Sik, Kedah
Depan sokong Pas, belakang sokong yahudi |
SAYA amat tertarik hati dengan berita Haram Sokong DAP seperti yang pihak UtusanMalaysia siarkan.
Pandangan ulama dari Kelantan telah disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Saya berpendapat, tindakan Utusan Malaysia menyiarkan pandangan ulama terhadap DAP adalah berikutan kerjasama Pas dengan parti tersebut adalah amat wajar.
Saya berpendapat, sebagai akhbar utama kaum Melayu, pandangan ulama terhadap kerjasama Pas dengan DAP memang wajar sekali.
Syabas terhadap ulama yang memberikan pandangan tersebut. Memang kerjasama tersebut amat janggal sekali dalam konteks menubuhkan negara Islam!
Saya berpendapat ulama yang memberikan pandangan haram sokong DAP tentulah dibuat bertitik tolak daripada kerjasama Pas dengan DAP. DAP adalah parti yang rasis kaum Cina.
Mereka tidak menyokong Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara jika berdasarkan sokongan mereka terhadap kumpulan Dong Zhong pelampau Cina dalam pendidikan Cina. Saya berpendapat, DAP tidak berjuang dengan ikhlas untuk memartabatkan Bahasa Melayu dalam konteks negara ini. Kenapa mereka mengabaikan Bahasa Melayu dalam sosio ekonomi mereka? Saya berasa amat sedih dengan hala tuju DAP terhadap masa hadapan Bahasa Melayu di negara ini. Mereka memandang rendah Bahasa Melayu.
Sehingga saya difahamkan, untuk mendapat kerja di kilang atau syarikat kaum mereka, ada puak mereka mengutamakan bahasa Cina? Kenapa mereka tidak tegur tindakan tersebut?
DAP juga amat lantang menyokong golongan murtad. Begitu juga mereka amat lantang berjuang untuk golongan LGBT yang amat ditegah oleh Islam. Apabila umat Islam cuba membetulkan kembali golongan tersebut, DAP masuk campur tanpa segan silu.
Begitu juga ketika di atas pentas Pas. Pemimpin DAP menghina seorang Menteri Besar Perak dari UMNO sebagai Hitam Metalik. Bahkan disambut laungan takbir oleh puak Pas.
Justeru, tidak salah ulama dari Kelantan menyatakan adalah haram menyokong DAP kerana Pas sendiri telah terpesong daripada ajaran politik Islam yang sebenar.
Pas terpaksa melutut kepada DAP untuk mendapatkan perkenan melaksanakan hudud. Sedangkan Islam adalah agama rasmi negara ini. DAP sepatutnya membiarkan sahaja hudud dilaksanakan. Apa salahnya mereka sokong hudud? Bukankah hudud boleh membantu rakyat hidup lebih aman?
Tetapi tindakan DAP menentang hudud amat bercanggah dengan agama rasmi negara. Justeru, DAP memang wajar haram disokong oleh umat Islam. Ertinya Pas juga termasuk dalam hukuman tersebut kerana melutut kepada DAP untuk hudud.
Ini amat memalukan umat Islam.