Selepas 5 tahun menerima jantung baru yang didermakan rakyat Malaysia yang prihatin, akhirnya adik Tee Hui Yee, meninggal dunia selepas mengadu sakit dada dan muntah- muntah. |
Tee Hui Yee, gadis yang pernah menjalani pembedahan pemindahan jantung pada lima tahun lepas, meninggal dunia hari ini selepas mengadu sakit dada dan belakang sejak semalam.
Hui Yee, 19, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.02 pagi di Hospital Batu Pahat, selepas dihantar keluarganya dari rumah mereka di Kampung Parit Besar di sini, ke hospital berkenaan kira-kira pukul 9 pagi.
Ibunya, Dina Bato Sambua, 51, berkata, anak bongsu daripada empat beradik itu mengadu sakit dada dan belakang serta mengalami muntah kira-kira pukul 11 malam semalam selepas pulang dari makan malam di sebuah restoran stimbot bersama seorang rakan.
"Kira-kira pukul 8 pagi tadi, dia sekali lagi meminta saya mengurut bahagian dada dan belakangnya. Dia sempat menjamah sekeping roti bersama kaya sebelum kembali muntah.
Saya cuba memujuknya ke hospital tetapi dia enggan sambil mengatakan dia hanya mengalami sedikit sakit," katanya yang ditemui di pusat persemadian, di Jalan Fatimah, di sini hari ini.
Dina berkata, dia kemudian memanggil suaminya, Tee Ah Soon, 57, yang berada di luar rumah untuk tindakan lanjut selepas mendapati keadaan gadis itu yang semakin teruk.
Menurut Dina, Hui Yee sepatutnya mula bekerja sebagai guru tadika di sebuah sekolah di Taman Maju di sini, hari ini dan anaknya itu turut memintanya memasakkan sejenis mi sempena ulang tahun kelima pembedahan pemindahan jantung, 5 Oktober depan.
"Saya tidak sangka dia sakit kerana dia sentiasa nampak gembira dan tidak pernah mengadu sebarang sakit. Kami baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur selepas dia menjalani pemeriksaan susulan di Institut Jantung Negara, Khamis lepas," katanya sambil menambah, mayat anaknya itu akan dibakar, Khamis ini.
Sementara itu, Ah Soon, yang merupakan pekebun sayur, pula berkata dia sempat memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut kepada anaknya selama 10 minit selepas mendapati gadis itu tidak sedarkan diri.
Ah Soon berkata, dia kemudian bergegas membawa anaknya ke hospital, bagaimanapun, pihak hospital percaya Hui Yee sudah meninggal dunia ketika masih berada di rumah.
Kakak Hui Yee, Tee Lee Ching, 30, pula berkata, adiknya sempat meluahkan hasrat untuk berkunjung ke taman tema Legoland menerusi perbualan telefon, Ahad lepas.
"Hui Yee melihat gambar saya bersama dua anak yang dimuat naik di laman Facebook. Dia bertanyakan harga tiket ke taman tema itu dan meminta saya membawanya ke tempat berkenaan apabila ada kelapangan. Saya berasa terkilan kerana tidak berpeluang membawanya ke sana," katanya.
Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung mendapat liputan meluas media apabila dia terpaksa bergantung nyawa selama setahun dengan jantung mekanikal ekoran tiada penderma jantung.
Pada 4 Oktober 2007, Hui Yee menjalani pembedahan pemindahan jantung yang didermakan keluarga lelaki Melayu dari Sitiawan, Perak tetapi tubuhnya menunjukkan penolakan sebelum dia sekali lagi menjalani pembedahan tersebut hasil organ yang disumbangkan seorang lelaki Cina dari Kangkar Pulai, dekat Johor Baharu, keesokan harinya.
Jantung 'baru' Hui Yee itu didermakan keluarga Chin Yoon Kiong yang membuat keputusan untuk mendermakan jantung mendiang selepas mangsa koma akibat kemalangan jalan raya.