Ahad, 28 Oktober 2012

Expand More Products Of Attractions In Pangkor Island:- DS Zambry

Published on Oct 27, 2012 by PERAKBN
27/10/2012 -- Perbanyakkan lagi produk tarikan pelancong di Pulau Pangkor: Menteri Besar

Kerajaan negeri bercadang untuk memperbanyakkan lagi produk pelancongan di Pulau Pangkor sebagai usaha menarik kedatangan lebih ramai lagi pelancong ke pulau peranginan tersebut.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, keindahan Pulau Pangkor bukan sahaja menarik kedatangan pelancong tempatan malahan pelancong asing ke situ.

"Pulau Pangkor bukan lagi menjadi destinasi ketika cuti-cuti panjang malahan ianya turut dikunjungi pelancong-pelancong yang datang pada setiap hari minggu.

"Bagaimanapun Pulau Pangkor hanya mempunyai kawasan pantai yang indah semata-mata bagi menarik kedatangan pelancongan.

"Kita mempunyai produk pelancongan yang terhad di situ dan bercadang untuk memperbanyakkan lagi di masa depan," katanya kepada pemberita selepas majlis korban sempena Hari Raya Aidiladha di Pulau Pangkor, hari ini.

Sebanyak 18 ekor lembu dan 10 ekor kambing telah dikorbankan pada majlis tersebut sebelum daging korban tersebut diedarkan kepada penduduk Islam di sekitar kawan Pulau Pangkor.

Dr. Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, sehubungan itu, Kerajaan negeri telah mengarahkan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) untuk turut sama memikirkan cadangan bagi mewujudkan lebih banyak produk pelancongan di situ.

"Sebagai contoh, mungkin boleh wujudkan taman tema air yang 'simple'. Bila anak-anak datang... mereka ada taman tema air.

"Ianya (taman tema air) nanti boleh dikendalikan sendiri oleh pihak MPM.

"Ianya mungkin berkonsepkan sama seperti di Taman Tema Air Sunway Lagoon di ibu negara tetapi lebih 'simple'," katanya.