Ahad, 28 Oktober 2012

Pemuda PAS Perak kecut bila berjumpa Pemuda Umno

Published on Oct 25, 2012 by PERAKBN
25/10/2012 -- Isu KUISAS selesai, hasil pertemuan dengan wakil Pas Perak: Datuk Mohammad Zahir Abdul Kadir


Kenyataan yang dilihat berunsur fitnah oleh Pas Perak terhadap pengurusan Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) baru-baru ini dianggap sudah selesai hasil pertemuan kedua-dua pihak, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Kadir berkata, isu kesahihan dan pengiktirafan program oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) yang dibangkitkan sebelum ini telah dijelaskan secara terperinci kepada ahli rombongan.

"Kita beri penerangan terhadap isu tersebut... pengesahan daripada JPA. Pihak mereka (Pas Perak) dah terima apa yang kita dah jelaskan dalam satu perjumpaan yang penuh mesra tadi.

"Mereka berasa puas hati dengan isu yang dibangkitkan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan secara tertutup dengan Pas Perak di pejabatnya di Bangunan SUK di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, sehubungan itu, pihak pengurusan KUISAS tidak bercadang untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Pas Perak yang sebelum ini dilihat mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan memperburukkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu.

Pas Perak baru-baru ini, mendakwa program pengajian di KUISAS yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) tidak mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) serta mempertikaikan kesahihan tandatangan pada sijil transkrip yang dikeluarkan oleh kolej berkenaan.

Berikutan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir telah mengarahkan semua agensi di bawah kerajaan negeri termasuk KUISAS mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa sahaja pihak yang cuba memfitnah dan memperburukkan mereka.

Dalam perkembangan yang sama, Datuk Mohammad Zahir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting berkata, pertemuan dalam suasana penuh mesra itu memperlihatkan bahawa, dalam isu-isu tertentu pihak kerajaan dan Pas boleh duduk semeja untuk mencari jalan penyelesaian.

"Ini satu usaha yang baik. Ini menunjukkan bahawa ada perkara-perkara tertentu yang boleh kita bekerja sama untuk kepentingan rakyat.

"Ada ruang kita boleh bekerja sama.. Memberi nilai tambah untuk kepentingan masyarakat," katanya.