Kenyataan Khalid itu tentulah melegakan penduduk Lembah Klang kerana mereka tahu jika krisis air seperti mana pernah berlaku dulu, 1998/99, kesannya amat memeritkan kehidupan harian selain turut memberi kesan buruk pada perkembangan ekonomi.
Tambah melegakan khalayak umum bila mana pada pertengahan Julai tahun ini pula, Exco kanan kerajaan PKR Selangor, Ronnie Liu telah membuat lawatan ke empangan di seluruh Selangor dalam usahanya membuktikan negeri ini tidak berhadapan dengan sebarang risiko krisis air.
Rata-ratanya takungan air di semua empangan dan sungai tika itu mencatatkan paras takungan 100% penuh, ada juga yang terlebih-lebih hingga air melimpah serta perlu dilepaskan ke sungai dan ada pula yang paling tidakpun takungan semasa air dalam empangan hampir penuh.
Berdasarkan tinjaun tersebut, Ronnie merumuskan ura-ura Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) untuk melakukan catuan air adalah mengarut dan langkah sedemikian sebenarnya tidak perlu dilaksanakan kerana semua empangan masih dipenuhi air.
"Kita tidak percaya cerita mereka kerana semua empangan dan sungai dipenuhi air. Kenapa perlu catu? Adakah mereka mengaku tidak tahu bagaimana merawat air secara berkesan? Sebenarnya ada banyak air mentah," demikian katanya kepada sebuah portal pro pembangkang Julai lepas.
Tiada tanda kerisauan jauh untuk panik bila dilihat pada keyakinan Khalid dan Ronnie Liu itu. Seolah-olah hujan di negeri ini berlaku sepanjang masa atau turun mencurah-curah sehingga 3 jam sehari untuk mengekalkan paras air di semua empangan.
Realitinya SYABAS bercakap perihal air terawat yang mana sebahagian besar loji-loji rawatan utama kini sudah beroperasi melebihi kapasiti maksima. Manakala Ronnie pula bercerita pasal air mentah yang masih memenuhi empangan dan sungai.
Dah jadi macam ayam dengan itik bercakap manakala rakyat pula ternganga dan kerunsingan memikirkan apa bakal terjadi pada kehidupan mereka kelak.
Hakikatnya, baik air mentah mahupun air terawat, kedua-duanya penting untuk kehidupan, cumanya rakyat tak minum air mentah dan tak guna air lombong untuk menguruskan kehidupan seharian.
Rata-rata kita sebagai manusia waras dan berakal, untuk minum, membasuh atau apa saja aktiviti harian yang memerlukan air, kita memanfaatkan air yang sudah selesai dirawat di loji-loji rawatan air.
Kecuali, hanya binatang seperti kambing, lembu dan lain-lain spesis yang dinamakan haiwan sahaja yang sanggup minum air mentah, atau barangkali juga dikalangan manusia, hanya Khalid dan Exco-exconya sahaja yang sudah terbiasa minum dan mandi dari air mentah yang di ceduk dari lombong-lombong.
Berbalik pada kisah air mentah di empangan dan sungai, jika 3 bulan lalu, pemimpin DAP yang juga Exco kanan Selangor telah mengesahkan semua empangan dan sungai di Selangor masih dipenuhi air, persoalan sekarang apakah paras air itu masih kekal atau semakin bertambah?
Jawabnya ialah, tanda-tanda awal kemungkinan berlakunya krisis air sebagaimana dijangkakan dari kajian-kajian hampir 10 tahun dulu nampaknya bakal menjadi kenyataan.
Berdasarkan laporan terkini yang diperolehi, paras air di Empangan Sungai Selangor menunjukkan penyusutan ketara. Pada Julai 2012 bacaan paras kapasiti semasa ialah 217.35 juta meter, sekarang ini pula sudah jatuh kepada paras 199.20 juta meter.
Empangan tersebut umumnya mampu menakung kapasiti air maksima sehingga 235 juta meter, jelas sekali sejak Julai 2012 semasa lawatan oleh Exco negeri, paras tersebut sudah menyusut sehinggalah ke paras sekarang.
Sungai Selangor dan beberapa sungai berdekatan yang membekalkan air ke empangan tersebut juga sudah menyusut. Jika dalam tempoh 20 hari keadaan ini berkekalan, kesannya bukan sahaja menyebabkan empangan tersebut akan kekurangan air malah operasi Loji Rawatan Air Rasa dan Bukit Badong juga akan terjejas teruk.
Impaknya amat buruk kepada rakyat Selangor khususnya kepada mereka yang tinggal di sekitar Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur serta 40 peratus penduduk Rawang, Selangor.
Sementara itu di Empangan Sungai Tinggi, bacaan terbaru yang direkodkan ialah 54.94 juta meter berbanding paras maksimanya ialah 59.5 juta meter. Bacaan yang direkodkan pada Julai lalu ialah 58.70 juta meter, ini juga menunjukkan telah berlaku kemerosotan kapasiti takungan air di empangan ini.
Pada 24 Mei tahun ini, MB Selangor pernah meminta pemimpin Kerajaan Pusat melakukan lawatan kesemua 7 empangan di Selangor dalam usaha Khalid untuk membuktikan Selangor tidak akan berdepan dengan krisis air.
Dan kini, dua bacaan paras air terkini yang diperolehi bagi dua empangan iaitu Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi sudah terbukti sedang mengalami penyusutan ketara walaupun belum lagi mencapai tahap kritikalnya.
Kita harap Khalid sendiri tidak keberatan untuk meluangkan masa melawat empangan tersebut. Bila Khalid melihat dengan mata kepalanya sendiri, pastinya senario semasa ini bakal menyebabkannya panik ataupun mungkin masalah gagapnya makin teruk.
Sudahlah sebahagian besar dari 34 loji rawatan air di seluruh negeri sekarang sedang beroperasi dan memproses air rawatan melebihi kapasiti maksima, tambah lagi dengan masalah takungan air mentah di empangan kian menyusut, mahu mereng Khalid dan anggota Exconya memikirkan alasan untuk meredakan kerunsingan rakyat Selangor.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.