Khamis, 11 Oktober 2012

Nik Aziz Patut Lempang Shahnon Ahmad

Semasa isu pemecatan Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri begitu hangat diperkatakan ramai pada akhir 1990-an dulu, Sasterawan Negara Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad telah menukilkan novel satira kontroversi SHIT bagi membela Anwar yang didakwa menjadi mangsa 'kezaliman' Perdana Menteri tika itu, Tun Dr Mahathir Mohammad.

Rentetan dari penerbitan novel satira itu, Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat telah tampil mempertahankan hasil penulisan Shahnon yang waktu itu mendapat kritikan ramai berikutan isi kandungannya yang menjijikkan serta berbau lucah apabila istilah 'pukimak @ PM' digunapakai bagi merujuk pada Tun Dr Mahathir.

Istilah 'pukimak' dalam erti kata orang Utara bermaksud 'kemaluan emak engkau' dan dalam novel itu, istilah tersebut diulang berkali-kali bertujuan menghina Perdana Menteri serta bermaksud menjatuhkan maruah ibu kepada Tun Dr Mahathir.

Bagaimanapun disebabkan tika itu Shahnon adalah ahli seumur hidup PAS dan dikira amat bernilai untuk memantapkan pengaruh dan imej PAS dikalangan orang Melayu Islam, maka Nik Aziz yang juga adalah Menteri Besar Kelantan telah menghalalkan istilah lucah yang dinukilkan dalam novel satira karangan Sasterawan Negara itu.

Kata Nik Aziz, novel SHIT karangan Shahnon tiada salahnya kerana ia hanyalah simbolik naluri manusia dan mencarut itu pula adalah sebahagian dari naluri insan, ia tidak dapat dihalang dan tidak wajar diabaikan.

Menurutnya Mursyidul Am PAS itu lagi, karya SHIT itu tidak pun bertentangan dengan Al-Quran kerana Allah s.w.t itu sendiri turut mencarut dan memaki Abu Lahab.

Walhal hakikatnya dalam kitab suci Al-Quran tidak wujud walau satu pun huruf atau ayat yang berbunyi lucah mirip dengan istilah 'pukimak' dan fakta ini hingga sekarang tidak pernah disentuh oleh Nik Aziz.

Namun demikian, tika itu tentulah berkembang hati Shahnon melihat karya jeliknya itu mendapat pembelaan 'tok guru surat pekeliling' dari Pulau Melaka. Lagipun bagi ahli dan penyokong PAS, restu dari Nik Aziz amat bermakna hingga ada yang beranggapan ia seumpama restu sang paderi yang berupaya menghapus dosa.

Kini sudah lebih 13 tahun berlalu, Shahnon Ahmad yang juga adalah bekas Ahli Parlimen PAS Kawasan Sik, Kedah sekarang ini kelihatannya seperti sedang mengalami proses keinsafan atau sedang di hambat bayang-bayang kesilapan lampau barangkali.

Tak semena-mena Shahnon bangkit mempersoalkan kerjasama songsang parti kesayangannya dengan si harbi DAP. Pelik tapi benar, 13 tahun lampau sudah wujud kerjasama luar tabie antara PAS dan DAP melalui Barisan Alternatif, baru kini Shahnon membuka mulut mempertikaikan hubungan tersebut.

Mungkin Shahnon sudah tidak dapat mendiamkan diri lagi melihatkan sikap taat buta tuli pemimpin PAS pada kehendak DAP dan acapkali pula PAS mengekor sahaja dari belakang DAP lagaknya saling tak tumpah seperti seekor anjing yang dipimpin tuannya.

Tapi Shahnon terlupa satu perkara, yakni orang yang bertanggungjawab merestui PAS berada dalam keadaan hina sekarang ibarat anjing yang tertambat rantai di lehernya, tidak lain dan tidak bukan ialah Nik Aziz Nik Mat.

13 tahun dulu Mursyidul PAS itulah yang telah membela Shahnon hingga tergamak menyamakan zat kebesaran Allah s.w.t dengan istilah lucah 'pukimak' yang terdapat dalam novel SHIT, hari ini pula Shahnon seperti melupakan jasa tersebut hingga tergamak mengecam hubungan mesra PAS dengan DAP.

Barangkali Shahnon pun sudah tidak mampu menahan sabar membiarkan Nik Aziz sesuka hati menentukan halatuju dan dasar perjuangan PAS, jika demikian amatlah perlulah untuk Sasterawan Negara itu mempersiapkan dirinya untuk dilempang oleh Mursyidul Am PAS itu kelak.

Jadi amat patut dan wajar sekali untuk Nik Aziz melempang Sasterawan yang tak sedar diri dan tak kenang budi itu.

Lagipun, siapa Shahnon untuk sesuka hati mengatakan, "dasar PAS sekarang tersasar daripada perjuangan asalnya apabila terpaksa menuruti kehendak DAP". Jauh bezanya taraf Shahnon dengan Mursyidul Am PAS.

Hatta, bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dengan selamba saja dapat diperlekehkan oleh Nik Aziz, apa sangatlah standard Shahnon untuk terkecuali dari terpalit dengan terjahan keras dari Nik Aziz yang terkenal dengan mulut berusnya itu. Tak gitu?
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.