112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden parti manakala anak sulung Naib Presiden.
113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu.... tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Saudara dan saudari,
116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.
117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa fasa. Fasa pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.
118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi MARA pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi MARA.
119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama 20 tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat perdagangan serta perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.