Ahad, 18 November 2012

Tan Lian Hoe balik Taiping Nga Kor Ming boleh jalan dah



KUALA LUMPUR 17 Nov. - Kerusi Parlimen Taiping di Perak yang sebelum ini ditandingi oleh PPP telah diserahkan kembali kepada Gerakan.

Presiden PPP, Datuk Seri M. Kayveas yang membuat pengumuman tersebut berkata, pihaknya masih menunggu Gerakan untuk memberi satu kerusi kepada PPP yang mana beliau akan bertanding di kawasan tersebut.

"PPP setuju untuk menyerahkan kerusi Parlimen Taiping kepada Gerakan dan kini kita masih menunggu Gerakan memberi satu kerusi semula kepada PPP,'' katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPP di sini hari ini.

Kerusi Parlimen Taiping telah diserahkan kepada PPP oleh Gerakan dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004.

Dalam pada itu beliau berkata, PPP akan meneruskan strategi misi 510 bagi membantu Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.

Menurutnya, hampir 5,000 cawangan PPP akan memastikan sekurang-kurang 510 pengundi di cawangan masing-masing akan menyokong dan mengundi BN pada pilihan raya umum tersebut.

"Sekurang-kurangnya, minimum 510 pengundi baharu akan disediakan oleh setiap cawangan yang terdiri daripada ahli PPP dan orang awam.

"Cawangan juga akan menyediakan kenderaan bagi mengambil dan menghantar mereka ke tempat membuang undi," katanya.

Tambah Kayveas, pilihan raya umum nanti akan menyaksikan lebih ramai yang terlibat dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Melalui pendedahan yang diberikan dalam media-media terutama media sosial telah menimbulkan minat dan penglibatan rakyat bagi terlibat sama dalam pilihan raya.

"Jentera PPP juga akan bergerak sepenuhnya selepas Perhimpunan Agung parti nanti pada 2 Disember yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)," jelasnya.

PPP sebelum ini telah menghantar senarai 16 nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya Barisan Nasional (BN) yang kesemua terdiri daripada muka baharu kecuali Kayveas.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121118/po_03/PPP-serah-Parlimen-Taiping-kepada-Gerakan#ixzz2CXmyZlkO
© Utusan Melayu (M) Bhd