Diterbitkan pada 17/12/2012
Ketika Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sedang membentangkan Bajet 2013 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini, pembangkang sekali lagi cuba menunjuk belang dan sikap kurang ajar apabila sengaja menayangkan poster 'Belanjawan Rakyat' ketika mereka masih berada di dalam dewan.
Tindakan pembangkang itu nyata kurang sopan, tidak senonoh malah menyalahi peraturan semasa bersidang.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 ditangguhkan kira-kira jam 1 petang tadi, Zambry berkata, sebagai wakil rakyat dan pemimpin kepada masyarakat, pembangkang sewajarnya memberikan contoh terbaik dengan berkelakuan sopan namun pembangkang masih tetap mempamerkan sikap yang sama.
"Sekali lagi mereka menunjukkan perangai tidak senonoh mereka dan saya yakin ia jelas menunjukkan sikap, perangai dan karakter yang tidak baik," katanya.
Beliau berkata, sewaktu pembangkang membentangkan bajet alternatif mereka dahulu, wakil kerajaan tidak pernah melakukan perbuatan sedemikian kerana memahami serta mengikut peraturan semasa bersidang.
"Kita tidak berbuat begitu dan kita tidak menunjukkan atau menayangkan apa-apa benda kepada mereka.
"Dalam BN jika kita nak tunjuk kita akan beri pandangan mengenai apa yang dibincangkan dan panggil media untuk kita jelaskan," katanya sambil menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai individu yang sudah tenggelam punca.
Susulan tindakan tersebut, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk menilai semula ciri-ciri pemimpin pembangkang yang mahu diangkat untuk membela nasib masyarakat negeri Perak.
"Jadi terpulang kepada rakyat samada mereka mahu yang jenis macam ini ke untuk memimpin negara dan negeri," tegasnya.
Bercakap mengenai bajet pula, Zambry berkata pembentangan Bajet 2013 bukan sahaja melibatkan pelan pembangunan struktur sahaja malah turut memberi fokus kepada aspek pembangunan lain.
Katanya, aspek pembangunan manusia harus dititik beratkan kerana ia merupakan aspek penting dalam memastikan kemajuan negeri terus dikecapi.
"Walaupun kita punyai pelan-pelan yang besar tetapi kalau kita tidak membangunkan manusia itu, maka ia tidak memberikan natijah yang baik kepada negeri," katanya.
Beliau menambah, perangkaan Bajet 2013 yang dirancang oleh kerajaan negeri itu juga bukan hanya melihat keadaan semasa malah turut memperlihatkan keadaan pada masa hadapan.