Selasa, 1 Januari 2013

Balak, Azizan, Keras

Azizan Abdul Razak (tiga dari kanan) menyiram pokok anggur yang ditanam sempena lawatan ke projek ladang buah-buahan Charok Genting Bunga berhampiran Tasik Pedu di Padang Terap, semalam. - BERNAMA




PADANG TERAP 30 Dis. - Di sebalik kebimbangan banyak pihak terhadap kerakusan aktiviti pembalakan di negeri ini, Kerajaan Pas Kedah merancang meneroka sekurang-kurangnya lebih 1,000 hektar lagi hutan bagi tujuan pembangunan tanah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, keputusan itu diluluskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Kedah telah memaklumkan kepadanya bahawa mereka sedang mengenal pasti kawasan yang terlibat di sekitar negeri ini.

Dalam mewajarkan tindakan berkenaan, beliau mendakwa, langkah itu selaras dengan keputusan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang mahu menjadikan Kedah sebagai jelapang makanan negara.

"Jadi orang yang tidak reti (tahu) jangan duduk melompatlah," katanya ketika berucap pada majlis penerangan ladang buah-buahan Charok Genting Bunga yang terletak berhampiran Tasik Pedu di sini hari ini.

Kerajaan Pas Kedah sebelum ini dilaporkan menjalankan aktiviti penerokaan hutan di Gunung Inas, Baling untuk memajukan 5,000 hektar tanah bagi pelaksanaan projek Ladang Sejahtera manakala kira-kira 350 hektar tanah hutan di sekitar Tasik Pedu diteroka bagi tujuan projek agro pelancong.

Dalam sidang akhbarnya, Azizan terus berkeras mempertahankan aktiviti pembangunan tanah dan pembalakan berhampiran Tasik Pedu bagi pembukaan ladang buah-buahan meskipun dibantah dan dipersoalkan pelbagai pihak.

Beliau mengulangi alasannya yang projek berkenaan mengikut garis panduan dan peraturan yang ditetapkan selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Ditanya tentang kajian mengenai kesesuaian tanah dijalankan terlebih dahulu untuk pokok yang ditanam, beliau berkata, semua tanah di seluruh negeri ini sesuai ditanam dengan pokok.

"Saya tidak tahu, tetapi kita fikir pasal biasanya kawasan ini pokok naik, jadi kita tanam dululah. Macam pokok pisang, tanam di mana pun berbuah di Kedah ini.

"Tanaman anggur pula pihak pengusaha kata ini kawasan yang sesuai, mereka sudah kaji. Tanam anggur ini kena cari kawasan dekat dengan tasik sebab haba dari tasik memberi perkembangan yang baik kepada buah itu," katanya.

Dalam pada itu, Azizan memberitahu, pihaknya bersetuju untuk membangunkan tanah hutan menerusi kaedah usaha sama antara syarikat milik kerajaan negeri (GLC) dengan persatuan-persatuan sekolah agama, Cina dan India kerana kerajaan negeri tidak boleh memberi tanah secara terus kepada pihak-pihak berkenaan.

Sementara itu, Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah berkata, beliau akan terus bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) jika diizinkan.

Katanya, usia bukan penghalang untuk menjadi calon sebagaimana dengan hasrat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk bertanding lagi pada PRU-13.

"Politik ini bukan dari segi umur tua atau muda tetapi mengenai visi, strategi dan perancangan," katanya.

Ditanya pandangannya mengenai kenyataan kontroversi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sempena perutusan Krismas apabila mendesak kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah untuk kitab Bible versi bahasa Melayu, Azizan enggan mengulas dan menyerahkan kepada ulama Pas untuk membuat kenyataan.