Sabtu, 26 Januari 2013

Lawatan Kerja DS Najib Ke Gaza

Lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini dapat memberi sokongan pragmatik dan disifatkan sebagai ‘lawatan perpaduan’ oleh rakyat Palestin.

Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF), Khalek Awang berkata, selain menjanjikan keamanan masa depan, lawatan itu turut menekankan kepentingan amalan kesederhanaan dalam pemerintahan tertinggi.

Beliau berkata, frasa ‘lawatan perpaduan’ memang tepat kerana sejak 1948 berjuta-juta umat Islam dan Kristian Palestin terpaksa meninggalkan tanah air dan tinggal dalam buangan, namun impian rakyat Palestin terhadap pendamaian tetap kukuh.

“Dengan melawat Gaza, Perdana Menteri cuba memaparkan kepada dunia perjuangan rakyat Palestin yang telah bertahan selama beberapa dekad, sekali gus memberi sokongan pragmatik kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, Jumaat.

Beliau berkata, jika golongan sederhana berusaha secara kolektif dan lebih prihatin terhadap ketidakadilan yang ditanggung rakyat Palestin, inisiatif itu pasti membuahkan hasil yang dinanti-nantikan iaitu perdamaian antara Hamas dan Pihak-Pihak Berkuasa Palestin atau perdamaian antara Palestin dan Israel.

Najib melawat Gaza, lawatan pertama seorang perdana menteri Malaysia ke bumi Palestin, pada lawatan kerja tiga hari beliau di Mesir yang bermula Isnin lepas sebelum menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland.