Rabu, 13 Februari 2013

118/02/13- Arkib: Lagi Isu Mat Indera

ABDULLAH C.D menghadiahkan buku penulisan beliau kepada Mohamad Sabu dalam satu pertemuan di perkampungan Sukhirin pada Disember 2009.
Kubur Mat Indera di Taiping


Gambar dipetik dari blog Matamin02.blogsport.com

BUAT pertama kalinya isu yang mempersoalkan sejarah negara diheret ke mahkamah dalam kes saman fitnah yang dikemukakan oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu terhadap Utusan Melayu (M) Bhd. (Utusan Melayu). Isu yang menjadi tunjang pertikaian pula adalah berkaitan keganasan komunis dalam kejadian serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong, Johor, sebelum merdeka.

Tuntutan saman itu merupakan rentetan daripada ceramah Mohamad atau Mat Sabu di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos 2011, yang menyifatkan Muhammad Indera atau Mat Indera yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong sebagai pejuang kemerdekaan.

Walhal sejarah negara mencatatkan Mat Indera seorang komunis yang mengetuai segerombolan 180 pengikutnya menyerang balai polis tersebut sebelum subuh 23 Februari 1950. Tragedi tersebut mengorbankan 25 orang termasuk wanita dan kanak-kanak yang merupakan ahli keluarga anggota polis terbabit.

Adakah Mat Indera wajar dianggap sebagai pejuang kemerdekaan sekali pun terbabit dalam satu catatan sejarah yang menyayat hati seluruh negara berpuluh-puluh tahun lalu?

Persoalan sama ada Mat Indera merupakan pengganas komunis atau pejuang kemerdekaan itu dilihat sebagai titik sempadan terhadap landskap sejarah negara ini pada masa hadapan.

Namun bagi seorang sarjana dari United Kingdom (UK), Dr. Karl Hack, 46, yang banyak membuat kajian terhadap sejarah komunis di rantau Asia Tenggara, beliau tetap berpendapat Mat Indera seorang komunis.

Ini berdasarkan pengakuan Mat Indera sendiri dalam kenyataannya semasa menjadi tahanan polis setelah berjaya ditangkap pada 15 Oktober 1952 di Kampung Seri Medan, Batu Pahat dengan kerjasama rakannya sendiri, Mat Tukyo.

Hack memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 9 Oktober lalu, selain pengakuan Mat Indera dalam kenyataannya, beliau juga merujuk kepada sumber lain termasuk buku memoir bekas Pengerusi Parti Komunis Malaya (PKM), Abdullah C.D. dan pihak tertentu yang menyatakan Mat Indera menerima arahan daripada parti tersebut serta menghadiri mesyuarat PKM.

Hack yang dianggap pakar dalam kajian darurat dan komunis di negara ini bagaimanapun berkata, beliau tidak bergantung sangat dengan buku Memoir Abdullah C.D. kerana isi kandungannya ditulis hanya berdasarkan ingatan bekas pemimpin PKM itu.

''Walaupun begitu, dalam buku tersebut (Memoir Abdullah C.D.) ada dinyatakan bahawa Mat Indera seorang komunis,'' kata pensyarah kanan dari Jabatan Sejarah di The Open University, UK itu.

Platform

Hack yang juga editor bersama buku; Dialogues with Chin Peng: New Lights on the Malayan Communist Party terbitan 2004 menegaskan, Mat Indera berpegang kepada ideologi komunis dan perjuangan komunis merupakan platform untuknya menentang British pada waktu itu.

''Mat Indera mengaku dia seorang komunis walaupun dia berpendapat terdapat tahap percanggahan tertentu antara Islam dan komunis. Bagaimanapun dia menyatakan, dia boleh menjadi komunis dan kekal sebagai seorang Muslim,'' kata Hack.

Beliau yang dilahirkan di Singapura dan ditampilkan sebagai saksi pakar bagi pihak defendan menyatakan, serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong dilakukan oleh Rejimen Ketiga Tentera Pembebasan Rakyat Malaya (MNLA) yang dikaitkan dengan PKM.

Menurut pensyarah di Nanyang Technological University dari 1995 hingga 2006 itu, selepas Mat Indera diberkas polis, pihak British tidak begitu menghiraukan statusnya sebagai seorang komunis atau sebaliknya kerana dia akhirnya dihukum atas kesalahan memiliki senjata api.

Sejurus selepas saksi itu selesai memberi keterangan, seorang pegawai polis dari Cawangan Khas, Asisten Supritendan (ASP) Leow Lai Yoong mengemukakan dua fail mengandungi dokumen asal kenyataan yang diberikan oleh Mat Indera semasa menjadi tahanan polis kepada pihak mahkamah.

Mohamad, 58, selaku plaintif memfailkan saman tersebut tanpa menyatakan jumlah tuntutan ganti rugi, terhadap Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak yang masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama dan kedua.

Selain tuntutan ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau, plaintif menuntut pihak defendan menarik balik tuduhan itu dan membuat permohonan maaf, yang disiarkan selama tiga hari di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia.

Plaintif mengemukakan tuntutan saman itu kerana mendakwa pihak defendan dengan niat jahat menerbitkan tiga artikel berunsur fitnah terhadapnya berhubung isu serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

Artikel itu membabitkan laporan muka depan Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011 bertajuk 'Mohamad Sabu hina pejuang, Anggap pengganas komunis hero sebenar tragedi Bukit Kepong' dan dua artikel lagi pada keesokan harinya bertajuk 'Mat Sabu dikecam' dan 'Kenyataan Mat Sabu dibidas'.

Pihak defendan dalam pernyataan pembelaan mereka pula menegaskan, artikel-artikel yang diterbitkan itu merupakan ulasan saksama demi kepentingan awam dan di bawah perlindungan bersyarat.

Dalam perbicaraan itu, Mohamad diwakili oleh peguam, Mohamed Hanipa Maidin, Amiruddin Zulkipli and Azhana Mohd. Khairudin.

Pihak defendan pula diwakili oleh peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun, Datuk Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin, Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek dan Nur Atasya Juhaidi Yean.

Saman itu pada asalnya difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 September 2011 tetapi pihak defendan berjaya membatalkan tuntutan berkenaan atas dasar teknikal kerana ketiadaan butir-butir yang mencukupi berhubung penerbitan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Terkorban

Mohamad kemudian memfailkan semula saman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 21 Disember tahun lalu.

Pada hari pertama perbicaraan pada 8 Oktober lalu, Mohamad dalam keterangannya mengulangi pendirian beliau bahawa penyerang Balai Polis Bukit Kepong termasuk Mat Indera sebagai penyokong kemerdekaan dan menyifatkan anggota polis yang bertugas di situ ialah polis British.

Beliau turut mengakui menyokong serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong sekali pun tidak mengetahui latar belakang ahli-ahli pasukan yang menyertai Mat Indera menyerang balai polis berkenaan.

Meskipun begitu, Mohamad menafikan bahawa beliau tidak menghormati jiwa dan darah anggota keselamatan serta keluarga mereka yang terkorban dalam tragedi itu.

Saksi plaintif tunggal itu turut menyatakan beliau tidak tahu bahawa yang melakukan serangan ke atas balai polis tersebut ialah pengganas-pengganas komunis daripada PKM.

''PKM ialah pejuang kemerdekaan kerana mereka menentang British sebelum merdeka, selepas merdeka tidak boleh, itu pengganas,'' katanya sambil menambah pendirian tersebut adalah pandangan peribadinya.

Mohamad dalam pada itu berkata, ketika membuat ucapan pada tahun lalu, beliau tidak tahu kesemua anggota polis yang terbunuh dalam tragedi itu terdiri daripada orang Melayu yang beragama Islam.

Namun beliau mengetahui antara yang terbunuh dalam kejadian itu ialah wanita dan kanak-kanak yang merupakan keluarga kepada anggota polis terbabit.

''Untuk peperangan, saya bersimpati dengan mereka yang terbunuh,'' katanya pada perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Seri Zakaria Sam.

Ketika ditunjukkan gambar-gambar hitam putih yang memaparkan mayat mangsa yang telah dibakar dalam tragedi tersebut, Mohamad hanya menjawab tidak pasti mayat-mayat itu dibakar atau tidak.

Dalam pemeriksaan balas oleh Firoz, Mohamad turut disoal tentang bekas Pengerusi PKM, Abdullah C.D. yang disifatkan oleh saksi tersebut sebagai pejuang kemerdekaan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Mohamad mengakui pernah menemui Abdullah kira-kira empat tahun lepas di Perkampungan Perdamaian Sukhirin, Thailand yang ditubuhkan selepas perjanjian perdamaian antara kerajaan Malaysia dengan PKM pada 1989.

Mohamad yang mendakwa tidak mengetahui Abdullah pernah menjadi Pengerusi PKM berkata, pada pertemuan itu, beliau menghadiahkan al-Quran kepada Abdullah manakala Abdullah memberikannya buku yang tidak diingati tajuknya.

Biarpun pernah menjejakkan kaki ke selatan Thailand, pemimpin Pas itu mendakwa beliau tidak pasti bahawa perkampungan Sukhirin itu adalah penempatan khas yang disediakan oleh kerajaan Thailand kepada bekas anggota PKM selepas perjanjian perdamaian tersebut.

Alasan beliau, perkampungan tersebut tidak berpagar dan bercampur dengan orang kampung, tidak seperti Kampung Baru.

Merujuk buku Memoir Abdullah C.D., Mohamad disoal tentang petikan buku itu yang menyatakan Mat Indera adalah sebahagian daripada anggota PKM, saksi itu menyatakan beliau tidak pasti.

Berhubung pasukan PKM yang melakukan serangan terhadap Balai Polis Bukit Kepong, kata Mohamad, beliau tidak tahu dan tidak pernah belajar mengenai pasukan tersebut.