Sabtu, 9 Februari 2013

088/02/13- Jentera Wanita BN Diminta Tingkat Usaha Pastikan Kemenangan Dalam PRU 13

Diterbitkan pada 08/02/2013
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengakui jentera Wanita Barisan Nasional (BN) adalah jentera yang paling penting bagi membantu parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Katanya, sambutan dan semangat yang ditunjukkan jentera Wanita BN adalah sangat luar biasa, sekaligus memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan kekal berpihak kepada BN.

Berucap di hadapan lebih 1,000 Wanita BN sempena Majlis Pelancaran Gelombang Biru di perkarangan Menara Dato Onn, dekat Kuala Lumpur petang tadi, jentera itu tambah Najib, akan turun ke bawah dan bergerak ke serata pelusuk negeri bagi mencapai matlamat berkenaan.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Wanita UMNO yang juga merangkap Ketua Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Yang berhimpun hari ini hanyalah sebahagian kecil Wanita BN yang berada di seluruh pelusuk negara dan mereka ini hanya menunggu isyarat yang dinanti-nantikan selama ini.

"Perjuangan BN akan diteruskan dan jentera Wanita BN akan berada di mana-mana saja termasuklah di rumah, di lebuh raya, dan di jalan negeri untuk mempengaruhi dan menyakinkan rakyat bahawa BN membawa masa depan yang cerah kepada mereka," katanya.