Rabu, 20 Mac 2013

Pas Perak Semakin Bongkak

Cikgu Din  blogger sisibukit dan pegawai khas Nizar

pantang jumpa majlis kenduri.


Pas Perak dilihat semakin bongkak dan sombong. Pas Perak juga semakin pening dan berserabut. Ini amat jelas dalam tindakan Pas sewaktu pengumuman meletakkan Dato Seri Nizar Jamaluddin sebagai calon Adun di Changkat Jering Perak.



Polemik meletakkan Nizar untuk bertanding di Dun Changkat Jering telah dimulakan oleh Nizar sendiri dengan bantuan blogger dan juga seorang pegawai khas beliau itu Ckgu Sharuddin seorang Guru Penolong Kanan di sebuah sekolah menengah di Taiping.

Pada Rabu lalu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Perak, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dengan beraninya mengumumkan Mohammad Nizar sebagai calon Pas di kawasan Dun itu dalam ceramah Suara Anak Muda di Batu 6, Changkat Jering, Bukit Gantang.

Pengumuman beliau mengejutkan banyak pihak dan akar umbi , ini jelas apabila pengundi Dun Trong telah mengingatkan calon baru mereka Saudara Azli Musa atau lebih dikenali sebagai Azli Taliban supaya tidak meniru perangai Nizar Jamaluddin.

Amaran dan peringatan tersebut diberikan kepada Azli supaya tidak terpengaruh dengan cara berpolitik Nizar yang jarang turun padang untuk membantu rakyat, bercakap tidak serupa bikin, membela yang batil dan bukan yang hak.

Nizar hanya pandai menayangkan kereta dan van sahaja, jika ada kematian dan kenduri van atau pickup sahaja yang sibuk ke hulu ke hilir tetapi untuk menghulurkan bantuan jauh sekali.

Nizar juga tidak memihak kepada penduduk kampung dalam isu membebaskan jentera berat yang menceroboh tanah di Kampung Cheh Trong. Penduduk juga menahan jentera berat untuk meminta ganti rugi kerana berlaku kemusnahan yang teruk terhadap tanah mereka. Apabila Nizar muncul, kononnya untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk, beliau sendiri datang dengan niat untuk membebaskan jentera berat milik kontraktor Dap dan bukan membantu penduduk.

Sehingga hari ini penduduk tidak berpuas hati dengan tindakan dan tipu muslihat Nizar Jamaluddin. Segala nya berpunca apabila 3 orang pemilik tanah anugerah yang berjumlah 15 ekar di Kampung Pauh ingin menggantikan tanaman getah kepada tanaman kelapa sawit.

Oleh kerana tiada jalan untuk jentera masuk melalui Kampung Pauh maka satu jalan perlu dibuat dari Mukim Trong dan akibatnya berlakulah kerosakan dan bantahan penduduk. Pun begitu Nizar dan Pas cuba meletakkan kesalahan kepada Umno Bukit Gantang dan bekas Adun Changkat Jering YB Osman Jailu.

Osman mendapat nama busuk kerana beliau dilihat pernah pergi ke rumah pemaju projek untuk makan laksa, itu sahaja dan ia menjadi modal Nizar untuk mencari kepentingan politik. Pada hal projek tanaman kepala sawit itu telah disahkan sebagai projek bekas ketua kampung JKKK zaman Nizar menjadi menteri besar selama 11 bulan, bukan JKKK kerajaan yang ada sekarang.

Berbalik kepada isu pengumuman Nizar oleh Raja Al Hiss, suasana mula menjadi panas selepas pengumuman oleh beliau, siapa beliau berani membuat pengumuman tersebut, apa jawatan dan apa hak beliau? Segala persoalan mula menjadi buah mulut penduduk dan pengundi Bukit Gantang.

Orang yang paling kecewa dengan pengumuman tersebut ialah YDP Pas Bukit Gantang, Ustaz Nordin Jaafar, beliau lah orang yang paling layak untuk bertanding di Dun Changkat Jering, Namanya sudah disebut-sebut sebagai calon Dun tersebut pada tahun 2008 tetapi Pas negeri member laluan kepada PKR iaitu YB Osman Jailu.

Untuk meredakan keadaan malam tadi, Pengumuman kedua terpaksa dibuat sendiri oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Abu Bakar Hussain di hadapan ribuan penyokong Pakatan Rakyat (PR) di Markas Pas Ayer Kuning malam tadi itu sekali gus menamatkan spekulasi tentang parti yang akan mewakili Dun berkenaan.

Sekali lagi terpancar wajah dan mimik muka yang menunjukkan kekecewaan yang amat sangat di wajah YDP Pas Bukit Gantang.

Pas Perak tidak mendengar apa kata akar umbi, Kehadiran Nizar di Changkat Jering memudahkan kerja Umno untuk merampas kembali kerusi tersebut. Nizar seorang yang sepatutnya sudah ditunjukkan jalan keluar daripada perjuangan politik Pas.

Ini kerana terlalu banyak pengkhianatan dan kesalahan yang dilakukannya selama 5 tahun menjadi wakil rakyat di Dun Pasir Panjang dan 4 tahun menjadi menjadi ahli parlimen Bukit Gantang.

Baru-baru ini 1000 ahli kelab penyokong Pas Pasir Panjang yang terdiri daripada remaja India telah pun mengisyiharkan bubar kelab dan menyertai semula MIC.

Calon Pas yang baru dari Pasir Panjang merupakan calon muslimat Pas sendiri mengakui bahawa pemilihan beliau untuk mewakili Pas Pasir Panjang ialah untuk membaiki kelemahan Pas sebelum ini. Ucapan tersebut disuarakan oleh calon baru dalam Program Munajat di Masjid Kampung Expo Kamunting 1Mac yang lalu.

Salah satu kesilapan YDP Pas iaitu Ustaz Nordin Jaafar ialah beliau tidak memanfaatkan sepenuhnya teknologi IT dalam perjuangan politik beliau. Tidak seperti Nizar Jamaluddin yang mempunyai seorang pegawai khas dan penulis blog yang hebat iaitu blogger sisibukit.blogspot.

Cikgu Din bukan anak tempatan Bukit Gantang dan beliau tidak sepatutnya banyak mulut atau memandai-mandai mengatur dan menyusun struktur politik tempatan, ini kerana kehadiran beliau di Taiping adalah disebabkan penempatan sebagai seorang kaki tangan kerajaan, kalau nak berpolitik pun, beliau boleh aktif di kampung beliau iaitu Pas Silibin Ipoh, berjuang lah untuk menuntut geran hak milik kepada penduduk setinggan atas tanah lombong yang masih ramai bertaraf setinggan.