Jumaat, 12 April 2013

Anwar Ibrahim Ketandusan Calon

Seperti diduga, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mengumumkan senarai penuh calon PKR yang akan bertanding di negeri ini malam tadi.

Sebaliknya, Anwar yang juga ketua pembangkang hanya bertindak mengumumkan nama seorang calon sahaja iaitu graduan dari Universiti Selangor (Unisel), Kamaruddin Chik untuk bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Kemaman.

Anwar kemudian dilihat tergesa-gesa meninggalkan program tersebut dengan diiringi Pengerusi PKR negeri, Azan Ismail.

Hal itu menguatkan lagi andaian bahawa parti itu ketandusan ahli berwibawa untuk ditonjolkan selain berlaku pergolakan dalaman berhubung isu perebutan untuk dicalonkan.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh yang turut sama dalam majlis itu dilihat cuba menjernihkan keadaan apabila menerangkan bahawa PKR belum memuktamadkan senarai penuh calonnya di Terengganu.

"Terdapat beberapa kerusi (Dewan Undangan Negeri) yang bertindih setakat ini dan kita akan umumkan dalam masa terdekat ini. Mungkin dalam tempoh sehari dua lagi.

"Cuma, kerusi ini sahaja (Kemaman) kita telah muktamadkan dan kita tetap akan pertaruhkan dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN di Terengganu," katanya kepada pemberita di Chukai di sini malam tadi.

Sementara itu, Kamaruddin yang merupakan Naib Ketua Cabang PKR Kemaman yakin akan memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti yang besar.