Selasa, 23 April 2013

PAS Mengaku ‘curi’ manifesto BN



Ipoh: PAS Perak mengakui pihaknya berjaya ‘mencuri’ manifesto BN negeri, sebelum ia sempat diumumkan kepada rakyat.

Ketua Penerangan PAS Perak, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, berkata pihaknya tidak mahu mendedahkan siapa yang membocorkan manifesto itu kepada mereka.

“Sekarang, UMNO tidak tahu siapa, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pula tidak mahu tuduh siapa yang membocorkannya, jadi kami tidak mahu sebut siapa yang bagi.


“Bagaimanapun, itu bukan isunya, bukan isu siapa yang bocorkan (manifesto BN). Tetapi apa aku janji (BN) menerusi manifesto,” katanya pada sidang media di pejabat PAS Perak di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Zambry selaku Pengerusi BN negeri kelmarin, bahawa parti itu terpaksa menangguhkan pengumuman manifesto yang sepatutnya diumumkan lebih awal, kerana sebahagian daripadanya dibocorkan pihak tidak bertanggungjawab kepada pakatan pembangkang.

Zambry yang juga Menteri Besar berkata, pembocoran itu memberi peluang pakatan pembangkang menelitinya sebelum mengumumkan manifesto mereka minggu lalu, yang dianggap sebagai perbuatan tidak budiman.

Buat bandingan
Nuri berkata, mereka ada membuat perbandingan manifesto BN itu dengan manifesto pakatan pembangkang dalam tiga sidang media yang diadakan sebelum ini.

“Kami tidak melihat isu ini sebagai budiman atau tidak. Bila ada orang bagi (manifesto BN), kita cuma nyatakan reaksi awal mengenainya,” katanya.