Isnin, 12 Ogos 2013

PI1M BANTU PELAJAR LUAR BANDAR CELIK IT

YAN, 11 Ogos (Bernama) -- Lazimnya masyarakat luar bandar agak ketinggalan dari segi Teknologi Maklumat (IT) kerana tidak mendapat pendedahan sewajarnya sekali gus meluaskan jurang digital dengan masyarakat bandar.

Sehubungan itu, kerajaan menubuhkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membantu masyarakat luar bandar mengenali IT.

Bagi pelajar Nurul Liyana Usup, 13, dari Kampung Seberang Jaya, Kuala Sala dekat sini sebelum ini dia langsung tidak berpeluang menggunakan komputer serta melayari Internet kerana keluarganya tidak mampu menyediakan kemudahan itu.

"Sebelum ini saya memang tak tahu mengenai hal berkaitan dengan komputer dan Internet, nak pegang komputer pun takut sebab memang tak reti (pandai).

Sekarang saya dah boleh guna komputer tanpa rasa takut selepas diajar oleh tenaga pengajar PI1M," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PI1M Kuala Sala di sini.

Nurul Liyana, anak nelayan dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mu''adzam Shah, Kota Sarang Semut berkata kemudahan yang disediakan oleh kerajaan itu dapat digunakannya untuk menyiapkan tugasan serta mencari pelbagai maklumat berguna untuk tujuan pembelajaran.

Dia amat berterima kasih kepada kerajaan kerana mewujudkan PI1M di tempatnya yang mampu membuka mata pelajar dan masyarakat luar bandar di kawasannya tentang IT.

Nurul Huda Natasha Ismail, 12, pula berkata dia kini bukan sahaja mengulang kaji untuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melalui buku, malah dapat belajar dalam Internet melalui aplikasi Zoom A.

"Memang seronok guna Internet, banyak yang saya dapat. Sebelum ini saya pernah ke Kafe Siber tapi tak boleh nak belajar sebab keadaan bising dan mengganggu tumpuan saya belajar," katanya.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Mahawangsa, Kuala Sala itu berkata dia dapat mempelajari sesuatu yang baharu serta dapat melihat kertas soalan UPSR terdahulu secara dalam talian untuk dijadikan latihan harian.

"Bila ada PI1M ini saya mudah untuk belajar. Saya juga dapat belajar asas perisian komputer seperti Microsoft Office dan dapat panduan mengenai penggunaan Internet dengan betul " katanya.

Nurul Huda berkata walaupun Internet juga mempunyai banyak keburukan, baginya setiap pengguna Internet perlu bijak setiap kali melayarinya dan hanya melayari laman sesawang yang berfaedah sahaja.

Sementara itu Pengurus PI1M Kuala Sala, Siti Fatimah Ayob berkata PI1M Kuala Sala menawarkan pelbagai aktiviti dan program kepada masyarakat di kawasan itu yang sebelum ini kurang terdedah dengan IT.

Katanya antara program yang dianjurkan ialah latihan ICT percuma, program ''klik dengan bijak'', program 1 Citizen, Get Malaysian Business Online serta program pembangunan modal insan masyarakat.

Beliau berkata selain itu pihaknya juga membantu peniaga dan usahawan kecil di kawasan itu untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan menggunakan Internet sekali gus dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka.

"Kita mahu masyarakat luar bandar setanding dengan masyarakat bandar yang dapat pelbagai kemudahan. Menerusi pelbagai program, usahawan boleh menggunakan teknologi maklumat untuk berniaga secara online," katanya.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.