Jumaat, 27 September 2013

Pernah menjadi AJK bahagian adalah syarat untuk bertanding MT

Dua calon ahli Majlis Tertinggi (MT), Tun Faisal Ismail Aziz dan Prof. Datuk Dr. Zainul Fithri Othman sedia menerima keputusan hilang kelayakan untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan UMNO Oktober depan.

Bagi Faisal, keputusan tersebut boleh diterima sekiranya dimaklumkan secara rasmi oleh Jawatankuasa Pengurusan Pemilihan UMNO bagi penggal 2013-2016.

Hal ini kerana beliau mengetahui tentang status kelayakannya itu hanya selepas membaca laporan Bernama dan desas-desus daripada pihak-pihak tertentu, tetapi bukan pihak pengurusan pemilihan UMNO.

“"Jika pihak pemilihan mengumumkan secara rasmi termasuk hujah yang melucutkan kelayakan untuk bertanding, maka saya akan menghantar surat rayuan.

“"Saya harap ada surat makluman, paling mudah pun melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan saya tidak layak atau ditolak," katanya.

Jawatankuasa Pemilihan UMNO semalam mengumumkan senarai penuh calon MT yang disahkan bertanding pada pemilihan Oktober nanti iaitu berjumlah 64 orang, bagaimanapun dua nama daripada jumlah itu tidak disenaraikan iaitu calon bernombor 60, Faisal dan calon nombor 11, Zainul.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab. Rauf Yusoh ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara itu memberitahu, Faisal dan Zainul telah hilang kelayakan untuk bertanding bagi jawatan MT ekoran masalah syarat.