Ahli-ahli UMNO yang melanggar tataetika pemilihan parti ketika menggunakan media sosial termasuk Facebook dan Twitter tidak terlepas daripada dikenakan tindakan disiplin sekiranya dibuktikan bersalah.
Penasihat Lembaga Disiplin UMNO, Datuk Mohd. Hafarizam Harun berkata, tataetika pemilihan UMNO secara jelas melarang apa jua penerbitan berunsur mengeji, mencela dan memfitnah dalam media cetak, elektronik serta internet.
Menurut beliau, siasatan akan dijalankan oleh Lembaga Disiplin sekiranya terdapat aduan berhubung kesalahan itu dan tindakan selanjutnya bergantung kepada hasil siasatan.
"Peruntukan serupa terpakai kepada para calon dan penyokong mereka jika didapati melanggar tataetika dalam pemilihan parti," katanya.
Timbalan Perdana Menteri juga menasihatkan semua ahli UMNO yang terlibat dalam pemilihan parti agar menjauhi amalan tidak sihat dan bertentangan dengan tataetika tersebut khususnya politik wang, fitnah serta tohmahan.
Oleh itu, ahli-ahli UMNO yang bertandingb seharusnya merujuk kepada Ibu Pejabat UMNO atau badan perhubungan UMNO negeri sekiranya ingin mendapatkan penjelasan lanjut tentang tataetika pemilihan parti.