Jumaat, 20 September 2013

Rahimi Abdul Karim untuk Exco Pemuda Umno Malaysia

Assalamualaikum W.B.T dan Salam sejahtera,

 Saudara Rahimi Abdul Karim mungkin dianggap sebagai muka baru di dalam arena politik tanah air. Namun hakikatnya beliau bukanlah asing di dalam gerakerja politik Pemuda UMNO bahagian Kelana Jaya dan di peringkat Pemuda UMNO dan BN pusat.

Beliau yang merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Subang Jaya Utama menawarkan diri untuk bertanding sebagai ahli jawatankuasa Pemuda UMNO bahagian Kelana Jaya dan Exco Pemuda UMNO Malaysia berhasrat untuk membawa suara akar umbi ke peringkat nasional dengan motto “dari akar umbi untuk akar umbi”.

Rahimi Abdul Karim, 32, yang kini merupakan seorang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheras merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Eletrik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Berang bukanlah baru di dalam era politik tanah air. Beliau yang bergerak secara aktif di akar umbi melalu pergerakan pemuda UMNO bahagian Kelana Jaya juga turut melibatkan diri di dalam beberapa program pemuda UMNO dan BN di peringkat pusat.

Keputusan untuk bertanding di peringkat pusat diambil setelah menerima pandangan dan sokongan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada ‘orang lama’ UMNO dan rakan-rakan Pemuda di peringkat bahagian dan pusat. Sambutan yang menggalakkan terhadap idea beliau mengenai agenda pendidikan Melayu dan miskin bandar selain membawa suara akar umbi Pemuda ke pusat mengukuhkan lagi hasrat beliau untuk menawarkan diri sebagai exco Pemuda UMNO Malaysia.

Berlatar belakangkan seorang pendidik, beliau melihat perjuangan pembangunan pendidikan anak bangsa Melayu terutamanya di kawasan bandar dan luar bandar perlu diperkukuhkan dan diberikan lebih perhatian. Terdapat sesetengah anggapan bahawa pelajar melayu yang berada di bandar mempunyai akses pendidikan yang lebih baik, namun begitu kemiskinan di bandar juga wujud dan pelajar melayu tidak terkecuali berada dalam kelompok tersebut.

“Sebagai seorang pendidik di salah sebuah sekolah yang berada di bandar, saya melihat sendiri ada pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kemudahan asas seperti pakaian, alat tulis dan kemudahan pengangkutan untuk ke sekolah. Mereka juga tidak mampu untuk mendapatkan kelas tambahan seperti pelajar lain malah ada yang terpaksa bekerja sambilan selepas sekolah bagi membantu keluarga”.

Pendidikan menurut beliau lagi merupakan asas paling penting di dalam pembangunan bangsa Melayu terutamanya dari segi ekonomi. “Pendidikan sebenarnya merupakan perkara yang paling asas di dalam pembangunan sosio ekonomi bangsa Melayu. Tanpa ilmu, agenda transformasi ekonomi Melayu tidak akan dapat dicapai”.

“Insyaallah dengan berbekalkan pengalaman sebagai seorang pendidik dan gerakkerja Pemuda UMNO sejak di peringkat akar umbi, saya akan membawa agenda perjuangan pendidikan Melayu dan miskin bandar sebagai salah satu teras di dalam transformasi pergerakan Pemuda UMNO Malaysia selain membuka ruang seluas-luasnya kepada akar umbi untuk mendengar denyut nadi mereka”.

Rahimi Abdul Karim dengan rendah hati memohon pertimbangan pihak tuan/puan bagi siaran media mengenai tawaran beliau untuk bertanding sebagai exco Pemuda UMNO Malaysia.

Segala jasa baik dari pihak tuan/puan amat kami hargai dan didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

2 ulasan: