Rabu, 9 Oktober 2013

WAH! INGAT PAS BERSIDANG MACAM ADIK BERADIK RUPANYA DAH MACAM LANUN



PAS Puttrajaya dan Batu kecoh apabila terdapat gerakan untuk menjatuhkan penyandang jawatan berkenaan.

Gerakan itu berjaya menukar kepimpinan di Putrajaya, tetapi gagal di Batu apabila pemimpin kawasan itu berjaya kekal dalam jawatannya.

Bekas Yang Dipertua PAS kawasan Putrajaya, Nazir Zakaria, dalam sidang medianya hari ini, berkata pada 3 April lalu, beliau “direhatkan” daripada jawatannya melalui satu surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Timbalan Yang Dipertua PAS Putrajaya, Kamaruzaman Mohamad dan dua lagi pemimpin PAS kawasan.

Katanya, menjelang mesyuarat agung iaitu pada 12 September, Nazir menerima satu lagi surat dari orang yang sama memaklumkan 'Penamatan tempoh berehat Yang Dipertua PAS kawasan Putrajaya' dan pada hari sama, notis mesyuarat agung Putrajaya dikeluarkan tanpa pengetahuannya.

Sehubungan itu, katanya, dalam mesyuarat agung PAS kawasan Putrajaya 22 September lalu, Kamaruzaman yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Putrajaya baru menggantikan Nazir.

"Pada hari mesyuarat agung berkenaan, saya tidak ada kerana ke Bangkok atas urusan korban untuk umat Islam di sana.

"Samentara ada di sana, saya turut berkunjung ke majlis berkabung untuk Chin Peng bersama calon kita dari Pendang untuk melihat sejarah yang diselewengkan oleh Umno," katanya kepada The Malaysian Insider.

Nazir berkata, tindakan terhadap beliau bermula apabila beliau melaksanakan keputusan mesyuarat AJK PAS kawasan yang mahukan Datuk Husam Musa sebagai calon PAS di Putrajaya.

Katanya, beliau mempertikaikan kesahihan tindakan merehatkan dirinya kerana ia bertentangan dengan satu kes yang berlaku sebelum ini iaitu kes Pendang apabila Pejabat Agung PAS membatalkan keputusan itu.

Sementara itu, di kawasan Batu, mesyuarat agung pada 29 September lalu kecoh dan terpaksa ditangguhkan apabila ada pihak yang membantah senarai calon serta menolak keputusan membenarkan perwakilan satu cawangan iaitu Taman Datuk Senu mengundi.

Menurut sumber yang hadir, keadaan menjadi kecoh sehingga seorang pemimpin kanan kawasan berang dan mendakwa ada usaha untuk "merampas dan menjatuhkan" kepimpinan PAS kawasan itu, lapor sebuah portal berita.

"Bagi saya, ini adalah usaha sekumpulan anak muda kita yang cuba menafikan pimpinan orang lama," kata Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Ishak Surin kepada The Malaysian Insider.

Ishak berkata, kekecohan berlaku apabila Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan yang diketuai Setiausaha Perhubungan dan Ketua Pemuda cuba mengambil alih proses pemilihan kawasan itu.

"Mengikut amalan kami di Wilayah Persekutuan ini, satu kawasan lain akan menyelia dan menjadi pemerhati mesyuarat kawasan ini. Dalam kes Batu, PAS kawasan Cheras yang diputuskan berbuat demikian. Bila Badan Perhubungan yang mengambil alih, mula timbulnya syak wasangka dan menimbulkan masalah ini," katanya.

Ishak menyertai PAS pada awal 1980-an selepas meninggalkan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Akibat kejadian itu, katanya, beliau dipandang serong oleh sesetengah pihak dalam PAS.

Selepas apa yang berlaku dalam mesyuarat itu, penyelia pemilihan mempertikaikan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Harian Kawasan untuk menolak perwakilan Taman Datuk Senu kerana mereka menghantar dua senarai perwakilan yang bercanggah.

"Bagi mengelak masalah timbul dalam mesyuarat agung, kami tolak kedua-dua kumpulan perwakilan cawangan itu. Namun apabila pemilihan hendak dibuat, penyelia pemilihan meminta perwakilan Datuk Senu diterima. Ini yang menimbulkan kekecohan," kata Ishak.

Sumber daripada Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan berkata, bagi pihak satu lagi pula, perwakilan Datuk Senu ditolak oleh PAS Kawasan Batu bertujuan menyekat pencalonan lain untuk jawatan Yang Dipertua Kawasan yang dipegang Ishak.

"Dalam mesyuarat agung semula selepas itu, Ishak menang tanpa bertanding untuk jawatan itu kerana bila ditolak pencalonan Datuk Senu hanya tinggal satu sahaja pencalonan untuk calon lain, sedangkan perlu dua pencalonan untuk menjadikan pencalonan itu sah," kata sumber itu.

Mesyuarat Agung PAS Kawasan Batu disambung semula pada 6 Oktober di Taman Gombak dan dalam mesyuarat itu, Ishak serta dua lagi pimpinan utama PAS Kawasan Batu menang tanpa bertanding untuk jawatan yang dipertua, timbalan dan naib. – 8 Oktober, 2013.

1 ulasan:

  1. Walakinnahu akhlada ilal ardh !

    BalasPadam