Jumaat, 29 November 2013
543 pelajar miskin terima biasiswa RM232,920-Adun Batu Kurau
Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM232,920 untuk pemberian biasiswa kecil kerajaan negeri Perak di bawah Yayasan Perak melibatkan 543 orang penerima.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, biasiswa tersebut diberikan kepada 231 murid sekolah rendah dan 312 lagi di sekolah menengah dari kalangan keluarga miskin.
"Peruntukan yang diberikan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah adalah masing-masing sebanyak RM360 dan RM480 setahun.
"Dari segi pecahan kaum, penerima biasiswa ini terdiri daripada 391 pelajar Melayu, 61 (Cina) dan 91 (India)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) berkenaan jumlah penerima dan pembayaran biasiswa berkenaan bagi tahun 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kali Ke-13 di sini hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (DAP-Canning), Muhammad Amin berkata, kerajaan negeri sedia menimbang untuk mengkaji semula pendapatan isi rumah yang ditetapkan sebagai salah satu prasyarat kelayakan penerimaan biasiswa tersebut.
Malah katanya, perluasan biasiswa itu ke sekolah persendirian Cina (Suwa) dan sekolah agama juga merupakan satu cadangan yang baik.
"Kerajaan negeri menerusi Yayasan Perak menyalurkan peruntukan purata sebanyak RM84,000 setahun untuk biasiswa ini sejak 1994," katanya.
Visit website