Jumaat, 29 November 2013

Apa lagi, tubuhlah lebih byk belia melayu!

Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menyifatkan Bajet 2014 negeri yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir Isnin lalu mesra belia kerana menyediakan peruntukan yang besar kepada golongan tersebut.

Naib Presiden 3 MBN negeri, Aswannudin Hariffudin berkata, bajet tersebut mencakupi segala genap kehendak golongan muda iaitu dalam aspek ekonomi, perumahan, pelancongan sukan dan peluang-peluang lain.

Katanya, selain peruntukan khas sebanyak RM2 juta, golongan belia mendapat peruntukan sebanyak RM1 juta untuk pembangunan ekonomi melalui Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan, latihan dalam bidang pertanian (RM8 juta), pelancongan sukan (RM3 juta), sebanyak 40 peratus daripada peruntukan membaiki rumah dikhaskan kepada golongan itu dan pelbagai peruntukan lain.

"Selain memberikan peruntukan yang banyak kepada golongan belia, kerajaan negeri memberikan penghormatan kepada ahli belia untuk terlibat dalam proses pembangunan belia melalui lantikan di bawah majlis-majlis di bawah kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Bendahari MBN negeri, Choong Shin Heng mengucapkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana menyediakan bajet yang dekat dengan konsep 5P iaitu perpaduan, pendidikan, pekerjaan, perumahan dan peluang yang menjadi tumpuan pertubuhan itu untuk tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, peruntukan dalam bajet itu juga memenuhi permintaan golongan belia kaum Cina yang mahukan peluang dalam bidang pendidikan, pekerjaan dan juga perumahan.

"Saya lihat bajet kali ini banyak menyediakan peruntukan berkait rapat dengan golongan belia yang mewakili sebanyak 40 peratus penduduk negeri ini. Bagi saya, bajet ini mesra belia dan dekat dengan konsep 5P yang mahu dilaksanakan oleh MBN Perak.

"Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kerana bajet tahun depan memang satu strategi dan langkah baik untuk golongan belia di Perak," kata beliau lagi.

Visit website