maxresdefault.jpg
Kenderaan terutama yang berusia melebihi 12 tahun tidak selamat berada di jalan raya kerana ia mengundang risiko kematian lebih tinggi semasa kemalangan berbanding kereta baharu.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Prof Dr Wong Shaw Voon berkata, kenderaan berusia terdedah dengan pelbagai kerosakan yang mungkin tidak disedari pemandu dan mengurangkan daya serapan tenaga pelanggaran ketika berlaku kemalangan.
"Kebanyakan kereta direka bentuk untuk jangka hayat antara lima hingga 12 tahun," katanya kepada pemberita selepas ujian perlanggaran kenderaan di Makmal Perlanggaran Penilaian Kereta Baharu Asean (Asean NCAP) di Tiang Dua di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Dr Tam Weng Wah menyaksikan ujian perlanggaran sebuah kereta berusia 23 tahun pada kelajuan 64 kilometer per jam bagi melihat kesan momentum perlanggaran terhadap
pemandu dan kenderaan itu.
Bagaimanapun katanya jangka hayat kenderaan turut dipengaruhi beberapa faktor seperti reka bentuk kereta, cara pemanduan dan penyelenggaraan kenderaan.
Sebagai contoh, Dr Wong berkata, kenderaan seperti teksi mempunyai jangka hayat selamat yang lebih pendek iaitu lima tahun disebabkan penggunaannya melebihi 12 jam sehari berbanding kereta lain.
"Kereta lama mempunyai daya menyerap tenaga perlanggaran lebih rendah berbanding kereta baharu dan daya tersebut kemudian dipindahkan kepada penumpang sehingga menyebabkan kecederaan teruk yang boleh mengundang risiko kematian,"
katanya.
Beliau berkata, kenderaan baharu dilengkapi teknologi terkini melibatkan reka bentuk kereta terutama untuk menyerap tenaga perlanggaran bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.
Sehubungan itu, katanya orang ramai digesa memberi perhatian terhadap jangka hayat kereta selain cara pemanduan serta penyelenggaraan yang betul bagi mengurangkan risiko kematian akibat kemalangan.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung ciri keselamatan kereta dan rating bintang bagi model kenderaan yang diuji di bawah Asean NCAP dalam laman sesawang www.aseancap.org bagi membantu mereka membeli kereta yang mempunyai ciri keselamatan tinggi. - Bernama
SEDIKIT KOMEN..
Sebuah kereta selamat atau tidak selamat ianya bergantung kepada cara penjagaan. TM mempunyai kereta yang sudah melebihi 12 tahun tetapi diselenggara dengan baik setiap 5000 km oleh syarikat pengeluar kereta yang bertauliah dan menggunakan alat ganti tulen dan sehingga hari ini kereta tersebut mampu memecut laju dan berhenti tepat apabila brek dihenyak ke lantai.
Faktor penyelenggaran adalah penting selain struktur binaan kereta, ada orang yang memiliki baru 5 tahun tetapi keadaan kereta amat uzur kerana tidak diselenggara mengikut jadual dan jika diselenggara pun hanya pada tahap minima oleh mekanik yang tidak bertauliah. Mereka menganggap perbelanjaan atau kos servis di pusat servis bertauliah amat mahal.
Mengenai ketahanan pelanggaran pula, kereta lama lebih baik daripada kereta keluaran terkini, cuba lihat kenderaan lama seperti Volvo 122, 144 , 244 atau model-model lain dari Eropah dan Amerika, semuanya tahan lasak, keras seperti kereta kebal, jika berlanggar dengan Vios, Wira dan lain-lain sudah tentu kereta baru akan lebih buruk menerima kesannya.
Jadi kajian Miros rasanya belum tepat. mungkin dakwaan Mairos ada kebenaran jika mereka melihat kesan kemalangan terhadap kereta lama yang renyuk teruk kerana badan kereta sudah reput. TM pernah melihat sendiri sebuah teksi Mercedes 240 D tahun 70an yang terlibat dalam kemalangan hancur bukan kerana impak dari pelanggaran tetapi badan kereta serta chasis yang reput. Jadi ketahanan sesebuah kereta bukan kerana usia tetapi kerana penyelenggaraannya.
sekian....