Rabu, 27 November 2013

Greater Kamunting

Pembangunan Greater Kamunting yang ditekankan dalam fasa kedua pembangunan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dijangka menerima pelaburan sebanyak RM18 bilion menjelang 2030.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, projek pertama berkenaan yang bermula hujung tahun ini akan melibatkan pelaburan sebanyak RM400 juta daripada syarikat tempatan dan luar negara.

"Penyediaan infrastruktur ini berpotensi menarik pelaburan melalui 34 projek permulaan, sekali gus bakal memberi impak pertumbuhan ekonomi dan perindustrian kepada negeri Perak.

"Pada enam bulan pertama tahun ini, NCIA telah berjaya membawa masuk pelaburan sebanyak RM166.5 juta ke kawasan Taiping dan Kamunting.

"Projek seperti pembinaan hotel empat bintang Novotel dan pusat beli-belah yang dijangka siap pada tahun depan bakal mewujudkan 3,650 peluang pekerjaan dan perniagaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin (BN-Manjoi) yang mahu mengetahui unjuran pelaburan dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) di sini hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Mohamad Ziad, beliau berkata, NCER tidak boleh dibandingkan dengan kemajuan projek pembangunan Iskandar Malaysia berikutan struktur geografinya meliputi empat buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak.

Sehubungan itu katanya, mereka dilihat seolah-olah 'bersaing' bagi mendapatkan projek pelaburan masing-masing.

"Kawasan Taiping dan Kamunting telah dipilih oleh NCIA kerana dilengkapi dengan tenaga kerja mahir, ekosistem sokongan yang matang bagi memudahkan urusan perniagaan serta mempunyai persekitaran lengkap," katanya.