Khamis, 21 November 2013

Pas baru sedar bahawa mereka lemah

Pas mahukan pemeteraian perjanjian daripada Pakatan Rakyat untuk mengekalkan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepadanya dalam PRU sekiranya pakatan tersebut berjaya mentadbir negara kelak.
  
Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata itu adalah jaminan kepada seluruh ahli akar umbi berikutan parti itu dilihat mempunyai kedudukan lemah dalam pakatan pembangkang seandainya Umno hilang kuasa dalam PRU akan datang.
  
"Ada kebimbangan majoriti wakil rakyat Umno akan menyertai parti-parti lain selain Pas dalam pakatan pembangkang, sekiranya Umno hilang kuasa dalam PRU akan datang.
  
"Saya kira, jika inilah kebimbangan yang kita ada, kita boleh memeteraikan perjanjian dengan rakan-rakan dalam pakatan bahawa setiap kerusi yang diperuntukkan kepada Pas dalam PRU lalu akan kekal ditandingi Pas pada masa akan datang sekali pun setelah pakatan mentadbir Malaysia," katanya.
  
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat, semalam.
  
Husam turut mengakui terdapat kelemahan dari segi hubungan parti itu dalam pakatan pembangkang yang perlu diperbaiki menerusi pengurusan kepimpinan.
  
"Tidak ada sesuatu yang mutlak dalam hubungan politik. Daya kepimpinan dan pengurusan segar, peka dan berterusan parti yang akan menentukan sama ada hubungan itu mantap, berjaya dan boleh ditingkatkan dari semasa ke semasa,"  kata Husam.