Sabtu, 30 November 2013

Perak akan bina bangunan DUN sendiri bebas dari SUK

Kerajaan negeri bercadang membina bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu khusus bagi menempatkan badan legislatif yang kini berada di bawah satu bumbung dengan badan eksekutif di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, badan legislatif perlu mempunyai bangunan sendiri bagi membolehkan institusi itu berfungsi sepenuhnya, sekali gus amalan demokrasi dapat berjalan dengan lebih baik.

Katanya, dengan adanya bangunan DUN Perak yang baharu itu, segala urusan berkaitan badan legislatif termasuk berkaitan Ketua Pembangkang, Speaker, kelab penyokong dan mesyuarat jawatankuasa DUN dapat dibuat di situ.

''Kerajaan negeri telah mengenalpasti tapak berdekatan yang bersesuaian bagi membina bangunan tersebut, namun cadangan tersebut masih di peringkat awal." katanya kepada pemberita di luar sidang DUN Perak di sini hari ini.

Zambry berkata, cadangan itu masih di peringkat perbincangan dan belum dimuktamadkan.

''Kita juga masih mempertimbangkan pilihan-pilihan lain termasuk sama ada membina bangunan baharu atau di bangunan sedia ada," ujarnya.

Beliau berkata, sekiranya dipersetujui oleh semua ADUN, bangunan DUN Perak yang baharu akan dibina dalam masa terdekat.

Katanya, pembinaan bangunan tersebut juga akan dibiayai oleh peruntukan daripada kerajaan negeri sendiri, tanpa memerlukan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Zambry, cadangan memisahkan bangunan untuk badan legislatif dan eksekutif itu dikemukakan oleh beberapa ADUN semasa sesi perbahasan usul Bajet 2014 di sidang DUN Perak semalam.

"Kita melihat aspek ini secara positif. Ini satu cadangan yang baik kerana kebanyakan negeri tidak mempunyai badan legislatif dan eksekutif di dalam bangunan yang sama.

"Ini kerana bangunan SUK adalah tempat kerajaan negeri memerintah menjalankan tugas mereka manakala bangunan untuk sidang DUN ada tempat lain seperti di negeri-negeri lain macam Selangor dan Sabah," katanya.

Visit website