Sabtu, 30 November 2013

Tahniah Gov Perak: Satu lagi tarikan pelancong ke Taiping

kelip-kelip ku sangka bintang - malek riduan


Kerajaan negeri mewartakan tanah kerajaan seluas 152.98 hektar di sepanjang Sungai Sepetang kepada Hutan Simpan Kekal yang dikenali sebagai Hutan Simpan Kelip-Kelip pada 13 November lalu bagi menjaga habitat dan memastikan spesies tersebut tidak diancam kepupusan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, Hutan Simpan Kelip-kelip itu melibatkan kawasan seluas 81.92 hektar di Mukim Jebong di daerah Larut Matang dan Selama serta 71.06 hektar di Mukim Selinsing di daerah Kerian.

Katanya, kerajaan negeri Perak Tourism juga mengeluarkan peruntukan untuk kerja-kerja pewartaan yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan.

"Kawasan tanah kerajaan yang mempunyai pokok berembang dan telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal akan diurus dan dipantau oleh Jabatan Perhutanan negeri bagi memastikan pokok ini berkekalan dan mendapat perhatian spesies kelip-kelip," katanya semasa menggulung pembentangan dan perbahasan Bajet 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut Nolee Ashilin, kerajaan negeri juga memandang serius isu kekurangan kelip-kelip di kawasan berkenaan yang boleh menjejaskan industri pelancongan dan mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut.

Katanya, antara usaha tersebut ialah menanam lebih banyak pokok berembang dan pada Julai lalu, sebanyak 200 pokok berembang ditanam dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Visit website