Rabu, 13 Ogos 2014

NASIHAT KEPADA TAN SRI KHALID IBRAHIM DAN PAS



Nasihat saya kepada Tan Sri Khalid supaya melakukan segera perkara-perkara berikut:

1. memecat dengan serta-merta Anwar Ibrahim daripada jawatan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor dan mengarahkan Anwar mengosongkan serta-merta pejabat PENS dan membawa bersamanya kesemua kakitangan yang ada;

2. memecat serta-merta kesemua anggota Exco Kerajaan Negeri daripada PKR-DAP;

3. memecat serta merta Saifuddin Nasution Ismail daripada jawatan Penyelaras Perhubungan Kerajaan Negeri dan PKR dan mengarahkan beliau mengosongkan pejabat dengan serta-merta;

4. memecat serta-merta kesemua Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif, Pengurus Besar dan Ahli Lembaga Pengarah daripada parti PKR-DAP didalam kesemua GLC, Perbadanan dan syarikat milik atau yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri Selangor;

5. melantik sekurang-kurangnya tambahan 6 orang lagi ADUN PAS menjadi Exco Kerajaan Selangor, ini akan menjadikan Exco Selangor mantap dan kuat dengan 10 anggota Exco;

6. apabila Dewan bersidang nanti, memecat Speaker dan kedua-dua Timbalan Speaker daripada DAP-PKR dan melantik seorang yang bukan ahli parti, seperti bekas Hakim Mahkamah Persekutuan atau yang setaraf dengannya sebagai Speaker DUN yang baru,

7. memberi surat tunjuk sebab kepada semua Ahli Majlis PBT daripada DAP-PKR menyatakan mengapa mereka tidak harus dipecat kerana menyokong pendirian parti mereka DAP-PKR memecat Tan Sri Khalid. Jika mereka masih menyokong DAP-PKR, maka kesemua Ahli Majlis PBT tersebut wajib dipecat serta-merta;

8. Kesemua jawatan Ahli Majlis PBT yang dikosongkan itu hendaklah diisi oleh ahli-ahli PAS atau aktivitis masyarakat yang bersesuaian;

9. mengadakan pertemuan segera dengan kesemua ADUN PAS Selangor dan pimpinan PAS Negeri dan Pusat untuk memastikan kelancaran pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

10. mendedahkan kepada rakyat, jika ada, kesemua projek atau habuan kewangan yang telah, sedang dan dalam proses diperolehi dan atau diberikan kepada Anwar Ibrahim, kroni atau ahli keluarganya, atau pimpinan dan ahli PKR-DAP serta kaum keluarga mereka.

Kepada Datuk Nik Aziz, Datuk Seri Hadi Awang, dan kepimpinan PAS, saya mendoakan supaya istiqomah dalam keputusan menyokong Tan Sri Khalid. Saya mendoakan supaya mereka dihindari dan dijauhi daripada fitnah, tipudaya, pembohongan dan putarbelit daripada PKR-DAP dalam keputusan mereka mempertahankan Tan Sri Khalid.

Manakala kepada PAS pula, saya nasihatkan supaya mengambil kesempatan daripada peluang pembentukan Kerajaan Selangor ini dengan menunjukkan kehebatan dan kebaikan pemerintahan Islam. Fahami prinsip Fiqh Awlawiyyah dalam pemerintahan dan pentadbiran Kerajaan.

Jangan lakukan kesilapan seperti yang telah dilakukan sebelum ini. Pertahan dan perkasakan Islam dan syariat Islam sebagaimana yang ditetapkan Allah didalam Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw; dan jagalah kepentingan dan kebajikan orang Melayu sebagaimana yang telah diperuntukkan oleh undang-undang tanpa menafikan hak atau menzalimi kaum bukan Melayu dan bukan Islam.

Ingatlah, Allah yang memberikan kuasa, dan Allah yang menarik balik kuasa!

Peganglah amanah yang diberikan Allah ini sebaik-baiknya. Jangan jadikan jawatan dan pemerintahan sebagai medan membuat habuan, tetapi jadikan ianya sebagai suatu amanah yang perlu dipertanggungjawabkan dihadapan Allah nanti!

Allah hu akbar, walillah hilhamd!
Wallahhua'lam dan wassalam.

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Selasa
16 Syawal 1435
12 Ogos 2014