Khamis, 11 September 2014

Kerajaan Perak rangkul Anugerah Khas Kewangan Global

Kerajaan negeri Perak dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Kewangan Islam Global 2014 (GIFA 2014) yang akan berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 27 Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, anugerah itu sebagai penghargaan terhadap komitmen dan kejayaan kerajaan negeri dalam melaksanakan tanggungjawab sosial Islam di Perak.

"Saya dimaklumkan mengenai keputusan tersebut oleh penganjur GIFA 2014 Profesor Humayon Dar.

"Keputusan itu dibuat berikutan pembentangan saya yang bertajuk 'Membina Keupayaan Rakyat Miskin Di Negeri Perak: Cara Yayasan Bina Upaya' di Simposium Ekonomi Global 2014 pada 8 September lalu di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anugerah GIFA, yang diwujudkan pada 2011, merupakan satu pengiktirafan kepada tokoh dan organisasi atas kejayaan serta amalan terbaik dalam sektor kewangan Islam.

Antara tokoh yang pernah menerima anugerah tertinggi GIFA bagi kategori kepimpinan ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi (2011), Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (2012) dan Bekas Perdana Menteri Pakistan Shaukat Aziz (2013). - BERNAMA

Visit website

Tiada ulasan:

Catat Ulasan