Rabu, 17 Jun 2015

Dap jangan main wayang



Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah hari ini mencabar Dap untuk memecat kesemua ahli Pas yang menjawat jawatan lantikan politik bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi juga di Selangor.

Jelasnyanya, jika benar Dap mahu mengambil tindakan ekoran daripada keputusan Muktamar Pas baru-baru ini yang mahu memutuskan hubungan dengan Dap maka mereka harus memecat kesemua ahli Pas yang memegang jawatan serta memutuskan apa sahaja hubungan dengan Pas baik di peringkat atasan mahupun bawahan.

"Jika mereka hanya memecat seorang sahaja, ini menggambarkan bahawa Dap sebenarnya hanya bermain politik semata-mata untuk menakutkan Pas.

"Mereka hanya mahu memberi tekanan kepada Pas dan mungkin berharap agar Pas akan kembali tunduk di kaki mereka. Dengan hanya memecat seorang, ini hanya satu ugutan untuk 'tawar-menawar dengan Pas," ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Shamsul, Dap sebenarnya juga takut untuk memutuskan hubungan dengan Pas kerana mereka sedar bahawa kemenangan benar mereka semasa pilihan raya umum dahulu adalah kerana sokongan kuat penyokong Pas.

Malah kata beliau lagi banyak program-program termasuk demontrasi jalanan, penyokong Pas lah yang dipergunakan Dap.

"Maka jelas di sini, Dap sebenarnya sekadar bermain politik kononnya mahu memperlihatkan mereka berprinsip.

"Untuk membuktikan kepada rakyat bahawa mereka kononnya berprinsip, mereka putuskan hubungan dengan Pas di Sarawak. Mereka sedar Pas tidak mendapat sokongan di Sarawak. Jadi untuk menjaga penyokong di sana menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) maka mereka putuskan hubungan dengan Pas di sana. Ini semua adalah propaganda politik Dap," ujarnya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa, sejak awal hubungan Dap dengan Pas, sudah jelas kelihatan bahawa Dap hanya mempergunakan Pas demi kepentingan politik mereka.

Kini, apabila Pasma telah wujud maka Dap mula membuat percaturan untuk memperalatkan pula Pasma.

"Tetapi Dap sendiri masih berkira-kira adakah dengan menyingkirkan Pas dan bersama Pasma mereka akan dapat sokongan padu bangsa melayu. Dek kerana itulah mereka masih berdolak-dalik terhadap isu putus hubungan ini," katanya. – MediaUMNO