Sabtu, 27 Jun 2015

PAS PERAK KUTUK NIZAR JADI KELDAI DAP.....

Tindakan DAP negeri yang mahu mengekalkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah sama sekali tidak wajar dan diselar Dewan Pemuda Pas Kawasan Ipoh Timur kerana bekas Menteri Besar itu tidak lagi memegang sebarang jawatan utama dalam Pas.

Menurut Ketuanya, Salman Saleh, adalah wajar jawatan Mohammad Nizar itu diserahkan kembali kepada DAP memandangkan parti itu mempunyai 18 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbanding Pas dan PKR yang masing-masing hanya mempunyai lima wakil di DUN.

"Sehubungan itu, kami mendesak supaya Badan Perhubungan Pas Perak menasihatkan agar Mohammad Nizar yang juga ADUN Changkat Jering melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Perak."

"Pas Perak perlu membuat pendirian supaya menolak jawatan Ketua Pembangkang setelah episod 'serangan' DAP terhadap Presiden dan Majlis Syura Pas sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di Ipoh, semalam.

Memetik laporan sebelum ini, Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming telah bersetuju untuk mengekalkan Mohammad Nizar selaku Ketua Pembangkang DUN Perak meskipun gabungan pakatan pembangkang telah berakhir sepertimana yang diumumkan.

Katanya, DAP menerusi mesyuarat buanan jawatankuasa parti negeri baru-baru ini sebulat suara capai keputusan tersebut dengan alasan Mohammad Nizar memiliki kewibawaan untuk terus mengetuai pembangkang di Perak.

Bagaimanapun, Salman berkata, dalam hal ini, DAP perlu menghormati pendirian Pas berikutan tindakan mengekalkan Mohammad Nizar bukanlah merupakan jalan terbaik bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua parti berkenaan.

"Tohmahan yang selama ini mengatakan Pas adalah 'boneka' kepada DAP akan menjadi senjata UMNO dan Barisan Nasional (BN) jika Datuk Seri Mohammad Nizar dikekalkan."

"Sekiranya DAP masih mahu kerusi Ketua Pembangkang kekal kepada Pas, biarlah Pas sendiri atau majlis pakatan pembangkang yang menentukan siapakah paling layak untuk mendudukinya," katanya.

Nizar selain dari mempunyai hubungan baik dengan para pemimpin DAP di peringkat negeri khususnya bekas Pengerusi DAP negeri Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming (Pengerusi baru DAP negeri), Nizar juga mencatat rekod sebagai Menteri Besar pertama mewakili pembangkang. - UtaraNews.com