Ahad, 9 Ogos 2015

Ahli Umno jangan jadi penyu



Dato Seri Najib Razak menggesa 3 juta ahli Umno hari ini melancarkan serangan balas terhadap mereka yang menyerangnya melalui platform media sosial.

Presiden Umno itu berkata kekuatan ahli parti itu mampu menangkis serangan tentera siber pembangkang sekali gus mengembalikan penguasaan Umno yang dilihat lemah menangkis serangan di media sosial.

“Buka akaun Facebook dan Twitter. Jika anda tidak boleh menjadi blogger, menggunakan Facebook dan Twitter pun memadai.

“Bila anda melihat pandangan salah, betulkannya. Bila anda melihat presiden parti diserang, anda boleh serang mereka kembali,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Najib ketika berucap merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Cheras hari ini turut menafikan beliau hanya memilih mereka yang sanggup menjadi “pak turut” sahaja.

Katanya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor walaupun sering berselisih pendapat dengannya masih menjawat jawatan setiausaha agung Umno.

“Saya bukan presiden parti yang mahu semua pemimpin Umno menjadi ‘yes man’. Jika parti terdiri daripada hanya ‘yes man’, maka kita tidak akan berbeza pendapat. Saya bukan kuku besi. Tanya Ku Nan (Tengku Adnan), kadangkala dia kata ‘Maaf tuan, saya tidak bersetuju dengan anda’,” katanya.

Menteri kewangan itu turut mengingatkan ahli Umno boleh saja berselisih pandangan antara satu sama lain seperti dalam hubungan suami isteri namun di luar ia perlu dilihat bersatu dan gembira.

Katanya, Umno hanya dapat dilemahkan apabila presidennya diserang dan itu yang sedang dilakukan puak pembangkang.

“Saya diserang bukan kerana saya Najib. Jika tidak, mengapa saya tidak mendapat lebih serangan ketika menjadi timbalan presiden? Jadi untuk tumbangkan Umno melalui pemimpinnya. Cerita tak wujud, dibuat-buat,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan pemimpin agar tidak hanya mendengar suara "pembodek" sebaliknya perlu lebih bertanggungjawab dan mengambil kira pandangan orang-orang di sekeliling mereka, walaupun terdapat pendapat yang bercanggah.

Tanpa menyebut nama sesiapa, timbalan presiden Umno itu ketika berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Pagoh, di Johor hari ini berkata, pemimpin yang hanya mendengar pujian-pujian dan menolak teguran adalah disebabkan mereka "dilindungi hijab" manusia yang tidak ikhlas.

"Yang ini jadi masalah bila kita jadi pemimpin, kadang-kadang kita dikelilingi penyokong kita yang beritahu, 'its ok sir, things are so good', 'don't worry sir, everything is ok sir, yes sir. Kita tidak nampak apa-apa tapi rasa bangga diri. Ini yang saya kata kepada perdana menteri, salahkah saya?" soalnya, merujuk kepada tindakan Najib menggugurkan dirinya daripada Kabinet baru-baru ini kerana lantang mengkritik membabitkan isu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Muhyiddin berkata, beliau tidak pernah menggunakan saluran luar untuk isu membabitkan syarikat itu, sebaliknya kritikan hanya disalurkan menggunakan platform mesyuarat dalam Kabinet mahupun parti.

"Banyak pandangan saya disuarakan dalam mesyuarat. Hari ini, walaupun di luar jemaah menteri, saya tidak harus berdiam diri.

"Lagi lama jadi pemimpin, lagi banyak keliling kita kata 'okay, great, you are great man for the nation', tapi tidak pernah berkata 'sir, this is wrong',” katanya. – 8 Ogos, 2015.