Sabtu, 19 September 2015

SANGGUPKAH PAS MENYEMBAH DAP DAN BERSEKUTU DENGAN PENGKHIANAT PAS?



Bekas aktivis Pas, Ustaz Mohd Riza Kamarudin melihat kenyataan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz bahawa peluang parti itu untuk menyertai Pakatan‎ 2.0 masih cerah sekiranya ada pertemuan dan perbincangan bersama Dap memperlihatkan parti berkenaan semakin akur kepada bekas sekutunya sebelum ini.

Soal beliau apakah parti berkenaan tidak serik dan sedia untuk diperlekehkan sekali lagi sepertimana sebelum ini apabila Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi sasaran kritikan walaupun berada dalam satu gabungan pembangkang.

“Saya cukup hairan dan musykil bagaimana kenyataan sebegitu rupa boleh dikeluarkan. Apakah Pas masih berharap untuk diajak bersama di dalam gabungan pakatan pembangkang baru setelah sebelum ini gabungan lama diwar-warkan terkubur oleh DAP gara-gara sikap dan tindak tanduk Pas itu sendiri.

“Apakah mereka mahu pisang berbuah dua kali…Saya cukup tidak faham dan pelbagai persoalan timbul di pemikiran bagaimana situasi yang akan ditempuh oleh Pas kelak sekiranya mereka benar-benar bertaut kembali di dalam gabungan yang baru nanti.

“Kenapa mereka terhegeh-hegeh dalam soal ini. Apakah mereka semakin akur dengan rakan sekutunya yang sebelum ini telah memutuskan hubungan hingga dianggap dingin. Apakah Pas sanggup melonggarkan prinsip perjuangannya?,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dilaporkan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata peluang Pas untuk menyertai Pakatan‎ 2.0 masih cerah sekiranya ada pertemuan dan perbincangan bersama Dap.

Katanya Dap tidak mustahil mengubah keputusan (tidak mahu penyertaan Pas dalam Pakatan) jika terdapat pertemuan yang membolehkan kedua-duanya bersemuka bagi menangani krisis dihadapi.

“Dalam politik, musuh boleh menjadi kawan dan kawan boleh menjadi musuh, yang menentukan ialah perbincangan. Bagaimanapun, setakat ini kita tidak menerima permintaan (dari Dap) berhubung perkara itu,” kata beliau dalam sidang media mengenai pelantikan 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) Dewan Pemuda Pas Johor Bahru, di Ibu Pejabat parti itu, hari ini.

Mengulas lebih lanjut Ustaz Riza seterusnya berpendapat Pas sewajarnya bergerak bersedirian dan percaya langkah berkenaan akan menguatkan lagi parti tersebut selain tidak menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli di peringkat akar umbi.

“Bagi saya secara peribadi Pas akan lebih kuat berbanding sekutunya yang lain jika parti itu bersendirian kerana mereka boleh mempertahankan prinsip parti dan bukannya menjadi sasaran kritikan kepada rakan sekutu sendiri.

“Namun jika mereka berpendapat sepertimana yang diperkatakan oleh Nik Abduh terpulanglah…namun perlu diingat apakah mereka sudah lupa terhadap kritikan kepada Datuk Seri Abdul Hadi sebelum ini. Cukup-cukuplah,“ katanya. -MediaUMNO