Selasa, 13 Oktober 2015

Dap hilang satu kerusi

JOHOR BAHRU - Ketua Pembangkang Dun Johor, Dr Boo Cheng Hau yang juga Adun Skudai mengumumkan melepaskan jawatan sebagai ketua pembangkang berkuatkuasa hari ini.

Beliau sebelum ini memegang jawatan selaku Pengerusi DAP Johor sejak 2008 hingga 2014 melepaskan jawatan berikutan wujud kempen memburukkan namanya oleh beberapa pemimpin baharu parti itu sejak kempen pilihanraya umum lalu.

Cheng Hau mengakui kecewa apabila dia bukan sahaja difitnah sebaliknya turut diboikot daripada menghadiri majlis mahupun sidang media yang dihadiri pemimpin tertinggi.

Tindakan beberapa pemimpin itu seolah-olah seperti seorang pengkhianat dan bersifat tikam belakang sedangkan Cheng Hau turut mendedahkan beliau sendiri yang membuka pintu kepada pemimpin dari negeri lain untuk bertanding ke negeri ini.

"Tindakan mereka seolah-olah menikam saya dari belakang...sedangkan saya sendiri yang mengalu-alukan kedatangan mereka ke Johor.

"Sedangkan pada 2005 mereka takut untuk bertanding ke Johor dan menuduh saya untuk 'membunuh' karier politik mereka, namun selepas menang di sini, saya pula difitnah,"katanya.

Cheng Hau berkata demikian pada sidang media di Pusat Komuniti Dun Skudai, di sini, hari ini bersama beberapa penyokongnya.

Menurutnya, keputusan meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang Dun Johor telah dimaklumkan kepada Speaker Dun Johor, Tan Sri Mohamed Aziz; Setiausaha Agung DAP , Lim Guan Eng dan Setiausaha DAP Johor, Gan Pek Cheng.