Jumaat, 9 Oktober 2015

Kenyataan media mengenai kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu mengenai 1MDB




KENYATAAN MEDIA
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
8 Oktober 2015

1) Kerajaan menjunjung kasih dan mengambil maklum intipati kenyataan ‘pre council’ Majlis Raja-Raja. Sesunguhnya ini menunjukkan bahawa prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di Malaysia berpisah tiada.

2) Kerajaan komited dalam mendukung sistem pemisahan kuasa (separation of powers), justeru setiap organ kerajaan perlulah dibenarkan berfungsi seperti yang dijelaskan dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Ini termasuklah peruntukkan berkenaan kuasa-kuasa yang tersurat dan tersirat Majlis Raja Raja.

3) YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Ketua Pentadbiran Kerajaan dan anggota kabinet yang lain mendukung sepenuhnya dan menghormati sistem Raja Berpelembagaan dan juga konsep pemisahan kuasa antara organ-organ Kerajaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4) Segala titah Majlis Raja-Raja dinilai baik dan pihak kerajaan telah pun mengambil langkah-langkah proaktif bagi menangani isu yang dititah. Sememangnya kesejahteraan rakyat dan kedaulatan undang-undang harus diberi keutamaan dalam apa jua keputusan dan kenyataan oleh semua pihak.

5) Justeru segala siasatan kepada mana-mana pihak sekalipun harus berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, malah desakan untuk mempercepat atau melewatkan sebarang siasatan kepada mana-mana pihak tidak patut berlaku.

6) Namun begitu pihak kerajaan ingin menegaskan bahawa segala maklumat tentang siasatan berkenaan akan dilakukan secara adil dan terbuka. Sistem perundangan yang termaktub di dalam Perlembagaan adalah jelas dan jika terdapat pihak yang didapati bersalah, maka tindakan undang-undang akan diambil.

7) Kita sedia maklum bahawa pihak Kerajaan sedang dalam proses menjayakan pelan pengurangan hutang (Debt Rationalisation) bagi syarikat 1MDB. Pelan ini telah disambut baik oleh pelbagai pihak pelabur dari dalam dan luar negara. Pihak kerajaan akan membentangkan pada masa terdekat segala transaksi pengurangan hutang 1MDB melalui pelaburan kepada aset syarikat tersebut.

8) Pihak kerajaan sentiasa mengambil berat dan menghormati titah-titah Majlis Raja-Raja. Oleh itu kestabilan ekonomi Negara, pemulihan nilai matawang Ringgit, keharmonian antara kaum dan pengurangkan kos beban hidup rakyat menjadi fokus utama kerajaan. Segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan pada masa terdekat.

9. Diharapkan tidak ada pihak yang menangguk di air yang keruh dan mengeluarkan kenyataan seolah-olah pihak kerajaan tidak berbuat sebarang usaha untuk mendepani semua isu yang dipolemikkan. Berilah kesempatan dan ruang secukupnya kepada pihak berwajib untuk menyelesaikan semua permasalahan dengan sebaik mungkin.