Khamis, 3 Disember 2015

41 Pekan Kecil Menikmati Pembangunan:- DSD Dr Zambry Abd Kadir





Sebanyak 41 buah pekan kecil di seluruh negeri Perak bakal menikmati pembangunan berkonsepkan
pusat komersial luar bandar yang dikenali 'Pusat Komuniti Rakyat', kata Menteri Besar Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir.

Perancangan tersebut adalah tertakluk kepada dasar kerajaan negeri dalam memastikan pengagihan pembangunan menyeluruh dilakukan.

" Hari ini contoh di Sauk...secara keseluruhannya ada 41 pekan kecil yang kita rancang agihan pembangunan itu agar dapat diagihkan ke semua peringkat. Inilah yang saya sebut pembangunan seimbang dan mampan," jelas beliau.

Datuk Seri Diraja Dr Zambry ditemui pada majlis penyerahan Dataran Amanjaya Sauk oleh kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar di Sauk, hari ini.

Projek pembangunan tersebut diseliakan oleh pihak PKNP yang setakat ini sebanyak empat buah pekan kecil telah dibangunkan.

"Ini idea yang kita buat dan dalam dua tahun ini alhamdulillah telah siap di Sauk, dua di Trong, Lekir dan Manong.

"Pada tahun 2016, 10 pekan kecil kita akan siapkan.

"Tujuan pembangunan pekan kecil antara lain untuk beri kemudahan kepada masyarakat dan juga bagi kawasan berkenaan mempunyai aktiviti perniagaan dan kemasyarakatan," ujar Datuk Seri Diraja Dr Zambry.

Jelas beliau lagi, PKNP melaksanakan projek berkenaan tanpa menjadikan faktor keuntungan sebagai matlamat pembangunan.

Bagi pihak PKNP, pembangunan yang dilaksanakan lebih kepada program tanggungjawab sosial korporat.

"Diharapkan pendekatan (Pusat Komuniti Rakyat) ini agar rakyat yang berada di pusat pertumbuhan juga akhirnya dapat membangun dan beri impak aktiviti lain," katanya ketika ditemui pemberita.