Khamis, 25 Februari 2016

Ladang Sungai Rui Mampu Menjana Pendapatan Golongan Miskin:-


Ladang Sungai Rui, di Gerik yang dibangunkan oleh Perbadanan Pembangunan Pertanian (SADC) Negeri Perak berperanan dalam membantu menjana pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir ketika ditemui di Gerik selepas melancarkan Pusat Rekreasi Agrotourism Sungai Rui pada Khamis.

“Ianya dibangunkan oleh SADC dalam usaha kita untuk memberikan ladang-ladang ini kepada rakyat yang dipilih dan menetap di kawasan Parlimen Gerik serta Lenggong dan mereka ini dikategorikan layak untuk menerima.

“Kita harap, dengan ladang yang dibangukan ini dapat ringin beban keluarga miskin,” katanya pada sesi sidang media.

Daripada keluasan sebenar ladang tersebut iaitu 923 hektar, pengusahaan tanaman getah dilakukan di atas keluasan 823 hektar.

“Kawasan ini difahamkan menerima taburan hujan yang banyak dan tanahnya hanya sesuai untuk tanaman getah jenis Timber Latex Clon (TLC),” kata Datuk Seri Diraja Dr Zambry.

Mengenai, pelaksanaan pusat rekreasi yang dibuka, beliau menyambut baik usaha SADC Negeri Perak yang mana ia dilihat sebagai penyumbang kepada sumber pelancongan negeri berasaskan alam sekitar.

“Konsep agro tourism ini merupakan perkara sampingan selain daripada kawasan perladangan yang dibangunkan SADC dimana kita mengenalpasti kawasan ini yang berpotensi untuk dijadikan sebagai kawasan rekreasi.

“Mungkin satu hari nanti kawasan ini akan menjadi tumpuan masyarakat yang berdekatan seperti penduduk di Kedah, Baling, Pulau Pinang dan Gerik yang hendak rasa suasana sejuk dan kehijauan,”jelas Datuk Seri Diraja Dr Zambry lagi.