Rabu, 3 Februari 2016

Pas Dan Tabung Haji


Pertemuan Dua Hala PAS dan Tabung Haji.

Kunjungan ke Tabung Haji oleh PAS Pusat hari ini berlangsung dengan baik. Menerajui budaya politik matang dan sejahtera, PAS hadir untuk mendapatkan maklumat langsung dari pihak Tabung Haji sebelum memutuskan sikap disamping turut mengemukakan pandangan serta penambahbaikan kepada pihak Tabung Haji selepas pelbagai isu kontroversi melibatkan Tabung Haji tercetus.
PAS turut bertanggungjawab menjelaskan kepada rakyat sesuatu isu yang berkait rapat dengan kepentingan dan kebajikan umat Islam berdasarkan maklumat yg benar dan tepat.

Alhamdulillah, pertemuan dan perbincangan dua hala selama lebih dua jam ini sangat bermanafaat dan pihak PAS sungguh menghargai kesediaan Tabung Haji menerima kunjungan kami dan memberi penjelasan kepada rombongan. 

Tinggi harapan PAS agar institusi ini benar - benar dikendalikan secara profesional dan telus sekaligus menjaga kepentingan seluruh pendeposit yang terdiri daripada ummat Islam.

Secara keseluruhannya penjelasan pihak Tabung Haji telah kami dengar dengan teliti dan insyaallah kami mengharapkan Tabung Haji dapat memberi penjelasan yang baik dan telus kepada seluruh rakyat selepas ini bagi merungkai polemik dan isu yang sedang menyelubungi Tabung Haji dewasa ini. 

Justeru besar juga harapan umum kepada Institusi terbesar dan terpenting bagi umat Islam di Malaysia ini bebas dari perkara yang merosakkan reputasi dan prestasinya.

Bagi pihak PAS kita akan terus mengikuti dengan dekat segala isu yang berbangkit dan akan sentiasa mengadakan pertemuan bagi mendapatkan gambaran sebenar setiap isu yang berbangkit selaras dengan gagasan politik matang dan sejahtera.

Pertemuan hari ini menemukan dua pihak. Mewakili PAS terdiri daripada saya selaku Timbalan Presiden PAS, Ketua Penerangan PAS Pusat Yb Ustaz Nasruddin Hassan, Yb Dato' Dr Khairudin at Takiri Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ahli Jawatan kuasa PAS Pusat Prof Zainal Abidin Kidam, Dr Rosni Adam Timbalan Ketua Dewan Muslimah PAS Malaysia, Kamaruzaman Mohamad Pegawai Khas Presiden PAS dan Nurul Islam Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sementara pihak Tabung Haji terdiri daripada Pengerusi Tabung Haji Dato Sri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Tabung Haji Tan Sri Ismee Haji Ismail, Dato Johan Abdullah Timbalan Pengarah Urusan, Dato Rozaida Omar Ketua Pegawai Kewangan TH dan beberapa orang pegawai kanan Tabung Haji yang lain.
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TIMBALAN PRESIDEN PAS
02 Februari 2015