1MDB merujuk kepada satu kenyataan yang dikeluarkan oleh International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS (Aabar) kepada London Stock Exchange. Kenyataan tersebut ada menyebut bahawa IPIC dan Aabar telah menafikan wujudnya pemilikan kepada entiti bernama Aabar Investments PJS Limited atau “Aabar BVI”.
1MDB telah merekodkan satu jumlah bayaran yang besar kepada Aabar BVI dalam penyata kewangan yang diaudit miliknya bertarikh 31.03.2013 dan 31.03.2014 dan penyata tersebut boleh diakses oleh umum.
Tambahan pula, amaun yang dibayar tersebut juga telah diulas beberapa kali, bermula pada 2013 hinggalah sekarang. Agak mencurigakan bagi pihak 1MDB apabila IPIC dan Aabar menunggu sehingga April 2016 untuk mengeluarkan kenyataan tersebut.
Rekod-rekod Syarikat 1MDB juga telah menunjukkan bukti pemilikan Aabar BVI dan setiap pembayaran yang dibuat, adalah melalui pelbagai perundingan perjanjian undang-undang bersama Khadem Al Qubaisi atas kapasitinya sebagai Pengarah Urusan IPIC dan Pengerusi Aabar dan/atau bersama Mohamed Badawy Al Husseiny, di atas kapasitinya sebagai CEO Aabar. Oleh itu, ianya adalah satu kenyataan yang agak mengejutkan apabila IPIC dan Aabar, kedua-duanya menafikan bahawa wujudnya pembayaran tersebut yang dibuat oleh 1MDB kepada Aabar BVI.
Kenyataan ini dikeluarkan tanpa prejudis terhadap hak-hak 1MDB atau remedinya, atau segala yang berkaitan.
Diterjemah oleh : KKMM