Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka empat kertas siasatan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, semua kertas siasatan itu termasuk kenyataan Tun Dr Mahathir yang menggalakkan campur tangan asing dalam hal-hal dalam negeri.
Menurut beliau, beberapa keputusan siasatan sudah dikemukakan kepada Peguam Negara.
"Kami telah membuka empat kertas siasatan antara lain termasuk tindakan Tun Dr Mahathir memanggil campur tangan asing.
"Sebahagian daripada siasatan telah siap dan dihantar kepada Peguam Negara," katanya pada sidang media di Bukit Aman selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Mes Pegawai Kanan Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Tun Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, tekanan dan campur tangan asing diperlukan untuk memaksa Perdana Menteri, Datuk seri Najib Razak meletakkan jawatannya.
Khalid berkata demikian ketika ditanya sama ada polis sedang menyiasat Mahathir atas kenyataan terbarunya seperti yang dilaporkan oleh The Australian pada Sabtu lalu yang menggesa campur tangan asing.
Mahathir mendakwa, tekanan asing diperlukan untuk memaksa Najib berundur kerana saluran untuk mencari penyelesaian dalam negara ditutup sepenuhnya.