Isnin, 23 Mei 2016

PAN akui memperalatkan Tun Mahathir


Pembangkang mengakui 'memperalatkan' Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi kerjasama dalam menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana kata Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, pembangkang menyedari adalah sukar berdepan Barisan Nasional (BN) tanpa penglibatan Dr. Mahathir kerana majoriti orang Melayu masih memberi sokongan kuat kepada parti itu dan Najib.

Dalam soal kerjasama dengan Dr. Mahathir berhubung deklarasi menjatuhkan kerajaan, Khalid berkata, tiada persetujuan dibuat yang bekas Perdana Menteri itu atau pemimpin UMNO lain akan menggantikan Najib sekiranya kerjasama tersebut berjaya.

"Kita manfaatkan Dr. Mahathir kerana dia masih ada sokongan. Ketika ini, hanya sekitar 40 peratus orang Melayu menyokong pembangkang, manakala selebihnya terus berada di pihak UMNO, jadi sukar untuk tumbangkan Perdana Menteri," katanya dalam ceramah anjuran pembangkang di Kampung Petani di sini malam tadi yang dihadiri kira-kira 50 orang.

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, beliau mahu penyokong pembangkang faham kerjasama berkenaan bukan kerana mereka menyanjungi bekas Perdana Menteri keempat itu tetapi bermotifkan politik.

"Kita tidak maafkan Dr. Mahathir atas apa yang dilakukan beliau sepanjang 22 tahun memerintah negara dan kita juga tidak sayang kepadanya, ini kerjasama politik semata-mata," katanya.

Sementara itu, Khalid turut memberi amaran kepada Pas supaya tidak mendabik dada dan menganggap parti berkenaan le­bih hebat dan diterima pengundi berbanding PAN.

"Sejarah parti itu lebih lama dalam politik tetapi ketika bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, mereka kehilangan deposit di tujuh kawasan," katanya.

Dalam pada itu, bekas pemimpin Pas yang kini Penasihat PAN, Ahmad Awang turut memberi bayangan pembangkang tidak akan tunduk kepada amaran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah kawasan tradisi Pas.

Menurut beliau, Pas tidak boleh menganggap kedua-dua kerusi itu sebagai kawasan mereka kerana tidak pernah menang sepanjang bertanding di situ.

"Pas bertanding empat kali tetapi kalah, jadi bagaimana boleh kata itu tempat mereka," katanya.

Utusan


Sent from Samsung tablet.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan