Isnin, 13 Jun 2016

Terjemahkan Sokongan Bagi Jayakan Kelangsungan Pembangunan - Zahid

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penduduk Kuala Kangsar perlu menterjemahkan sokongan mereka menerusi undi kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar bagi meneruskan kelangsungan pembangunan di kawasan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan telah mengumumkan pelbagai projek pembangunan di kawasan itu, dan sokongan kepada calon BN Datin Mastura Mohd Yazid, pastinya melicinkan lagi pelbagai projek yang telah dirancang.

"Banyak sudah kami umumkan beberapa permintaan rakyat di Kuala Kangsar, kami nak ia diterjemah kepada undi (calon) BN (pengundian 18 Jun ini)," katanya ketika berucap di pusat daerah mengundi di Kampung Bendang Panjang, di sini hari Ahad.

Beliau berkata kerajaan sentiasa mendengar keluh-kesah penduduk kawasan itu, namun mereka perlu jelas membuktikan sokongan kepada kerajaan bagi menjayakan pelbagai program berkenaan.

Pada majlis itu Ahmad Zahid turut meluluskan tiga projek untuk kemudahan penduduk Bendang Panjang iaitu pembinaan sebuah dewan serba guna, padang futsal dan padang bola sepak.

"Dengan adanya kemudahan ini penduduk boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti mengadakan majlis dan lain-lain program," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 bagi menaik taraf Masjid Sultan Abdul Jalil di Kampung Bendang Panjang itu.

Peruntukan itu meliputi kos untuk pemasangan karpet baharu, penghawa dingin dan mengecat semula masjid, katanya.

Dalam lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kuala Kangsar Jumaat lepas, beliau turut mengumumkan pembinaan jambatan Manong dan pemberian status universiti kepada Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).

Calon BN pada PRK itu sebelum ini menggariskan lima agenda yang beliau akan perjuangkan untuk penduduk Kuala Kangsar, antaranya menaik taraf KUISAS dan menyegerakan kelulusan projek jambatan Manong.

Tiga lagi agendanya ialah memohon kelulusan projek membesar dan melebarkan jalan Manong-Kuala Kangsar, menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada hospital pakar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.



Sent from Samsung tablet.